TUTUP PUSAT SEMBELIHAN : PIHAK BERKUASA BUAT KERJA SAMBIL LEWA

ALOR GAJAH: Majoriti peniaga gerai makan di Pekan Alor Gajah, di sini terkilan dan tidak berpuas hati apabila proses menutup sebuah pusat penyembelihan ayam tidak dilaksanakan secara menyeluruh sehingga meninggalkan satu `kudis' kepada mereka dan orang ramai yang berkunjung ke situ setiap hari.

Ini disebabkan kegagalan pihak berkuasa terbabit menutup sebuah kolam takungan yang menempatkan sisa buangan ayam berhampiran pusat berkenaan, sehingga menimbulkan bau busuk terutama selepas hujan.

Justeru, saya mengharapkan supaya pihak berkuasa membantu mengatasi masalah itu supaya tidak berlarutan, berikutan kolam takungan berkenaan sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu.

Pihak berkuasa mesti mengatasi masalah itu dengan segera bagi mengelak ia terus menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke situ.

Berita Harian yang dibawa meninjau ke kawasan itu sebaik menerima aduan pihak terbabit, bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang ulasan daripada pengurusan pusat memproses ayam berkenaan.

Difahamkan, pusat memproses ayam itu membekalkan 50 peratus keperluan ayam proses kepada peniaga dan penduduk di pekan itu membabitkan kira-kira 600 hingga 1,500 ayam sehari sejak lapan tahun lalu.

Perniagaan aktif itu bagaimanapun diakui meninggalkan kesan negatif ke atas kebersihan alam sekitar apabila pemiliknya kurang prihatin mengenai kaedah pelupusan sisa industri, sebaliknya mengambil jalan mudah dengan mengalirkan air kotor ke kawasan tanah rendah di belakangnya.

Comments