ROBOH PASTI DAN SURAU : PENDUDUK BUKIT KATIL TETAP LAWAN

Penduduk Kampung Bukit Katil akan tetap menentang usaha untuk merobohkan PASTI Jaya Insan dan Surau di Lorong Dato Demang Hussein.

Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya tuan-tuan tanah tersebut hadir bagi membincangkan isu pampasan tanah mereka pada 3 November ini, mereka tetap tidak akan menerimanya kerana pengambilan tersebut bagi mereka tidak munasabah dan mempunyai agenda tersembunyi.

Salah seorang terlibat dengan isu ini yang tidak mahu namanya disiarkan berkata tindakan kerajaan memgambil tanah atas alasan untuk membina jalan adalah tidak logik dan berbaur politik.

"Mengapa tapak PASTI dan surau serta rumah rakyat yang diambil sedangkan terdapat tanah kosong berhampiran kawasan ini yang boleh diambil untuk membuat jalan."

"Kami akan tetap mempertahankan tanah kami ini walau dengan apa cara sekalipun" tegas beliau dengan penuh semangat.

Pengerusi Badan Bertindak perobohan PASTI dan Surau ini, Haji Mohd Yassin Abdul Ghani pula berkata mereka akan mengunakan pelbagai saluran untuk menyelamatkan institusi yang sangat berjasa kepada penduduk setempat di Bukit Katil.

"Kita akan bawa kes ini ke mahkamah dan saluran tertentu bagi memberitahu rakyat akan kezaliman dan kerakusan pihak berkuasa cuba merobohkan PASTI dan surau yang amat disayangi ini".

"Kedua-dua institusi ini dibina dengan jerih payah rakyat menginfakkan duit dan tanah untuk kemudahan beribadat dan mengajar agama kepada anak-anak dan penduduk setempat, mengapa ada orang yang begitu dengki dan cemburu dengannya" ujar Hj Mohd Yassin.

Comments