HAB HIBURAN : RAKYAT MESTI BANGKIT TUMBANGKAN BN PADA PRU 13

Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab berkata langkah kerajaan pusat mahu menjadi Malaysia sebagai hub hiburan sudah tentu akan menambahkan lagi pusat maksiat di negara kita.

"Tidak cukupkah pusat maksiat yang ada dinegara kita sekarang. Maksiat berleluasa sekarang sehingga ratusan ribu anak luar nikah dilahirkan di negara kita?"

"Tidak cukupkah masalah perzinaan dan gejala tidak bermoral berlaku di negara kita sekarang sehingga mengundang kerajaan ingin memperbanyakkan pusat-pusat maksiat yang sedia ada?"

Yusof berkata di Melaka sahaja kira-kira 3,111 anak luar nikah dilahirkan dari tahun 2007 hingga 2009 seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian beberapa minggu lalu di mana secara puratanya 2.8 orang anak luar nikah dilahirkan sehari.

"Kalau dengan pusat-pusat maksiat yang sedia ada melahirkan 2.8 orang anak luar nikah sehari kita bimbang lebih ramai anak luar nikah dilahirkan dan maksiat akan semakin bertambah dengan pertambahan kelab malam dan pusat hiburan seperti yang kerajaan rancang".

"Mengapa kerajaan tidak memikirkan kesan negatif akan perkara ini, bukannya mereka ingin mencegah kemungkaran malah menambahkan kemungkaran dan maksiat pula" ujar Yusof.

"Bukankah pergaulan bebas, pusat-pusat hiburan, kelab malam, dangdut, disko dan kewujudan hotel-hotel murah juga menjadi punca kepada mukaddimah zina yang akhirnya menyebabkan perzinaan dan maksiat lain berlaku" tambah Yusof.

"Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya dengan rancangan membina hub hiburan ini".

Menurut Yusof Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang dicadangkan kerajaan dengan memasukkan program membina hub hiburan ini menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri.

"Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya, lebih malang lagi pekerja kelab-kelab ini nanti majoriti wanita Islam di mana lebih ramai wanita-wanita Islam akan rosak dan terjerumus ke kancah maksiat".

"Kita risau (jika) spa dan disko diperbanyakkan, keupayaan kita untuk membendung masalah sosial bertambah buruk," katanya ketika dihubungi di Pusat Aduan di sini pagi ini.

Menurutnya, rancangan itu "tidak sesuai" sebaliknya kerajaan perlu memikirkan kelainan untuk ditunjukkan kepada pelancong seperti melalui pusat makanan tradisional, muzium budaya atau program homestay.

"Saya berpendapat pelancong luar datang bukan nak untuk melihat kelab malam sebab di negara mereka kelab malam lebih canggih dan menarik," katanya.

Yusof berharap agar rakyat bangkit menentang rancangan ini dan jika kerajaan berdegil untuk meneruskannya rakyat boleh menggunakan kuasa undi menjatuhkan mereka pada Pilihanraya Umum akan datang.

Media semalam melaporkan bahawa Hub Hiburan ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabangsa ke negara ini.

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020.

Untuk mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Comments