GST : RAKYAT MENANG LAGI

Parti Islam Se-Malaysia PAS mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang menentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) , sehingga kerajaan menangguhkan perancangan tersebut. Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah berkenaan diambil bagi membolehkan kerajaan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat untuk memastikan penguatkuasaan GST kelak akan diterima dengan baik oleh semua pihak.

Inilah hikmahnya apabila kuasa rakyat semakin terserlah dan bilangan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ramai, menyebabkan mereka merasa gerun perkara ini akan ditentang di dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung. Mereka juga memahami isu penderitaan rakyat jika tidak ditangani dengan sempurna akan membawa padah kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

PAS mengharapkan kerajaan janganlah mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang, dengan mengenakan GST semata-mata, kerana ia melibatkan semua lapisan rakyat di negara ini, terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah. Kerajaan perlu membetulkan pengurusan kewangan negara dahulu, supaya lebih telus dan memerangi rasuah. Kos yang tiris inilah sebenarnya yang menyebabkan kerajaan pada hari ini tercekik sehingga memikirkan perlunya GST dilaksanakan. Janganlah merasa malu untuk belajar daripada pemimpin negeri Pakatan Rakyat yang telah terbukti kewibawaannya dalam menguruskan ekonomi di negeri masing-masing.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Comments