DEBAT SEKOLAH MENGANDUNG : ALI RUSTAM BERDIAM DIRI

Selepas seminggu Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman menyahut cabaran Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rustam untuk berdebat, beliau masih berdiam diri tidak memberikan respon kepada kesanggupan PAS untuk berdebat.

Apakah Ketua Menteri takut atau tidak yakin akan kemampuannya sendiri untuk berdebat mencari kebenaran bagi mengatasi masalah yang berkaitan.

Rata-rata rakyat Melaka yang ditemui menyatakan pandangan mereka bahawa Ketua Menteri sebenarnya tidak berani untuk berdepan dengan PAS dalam apa juga isu. Lebih malang lagi beliau sendiri yang mencabar PAS tetapi akhirnya beliau yang takut.

Seorang pemuda, Azmi Aziz, 24 dari Peringgit kesal dengan sikap Ketua Menteri yang seolah-olah berani dan bersungguh-sungguh untuk berdebat tetapi bila PAS menyahutnya beliau pula yang tidak berani.

"Memang ramai menjangkakan bahawa Ketua Menteri tidak berani berdebat dengan PR dalam apa juga isu, ini bukan kali pertama beliau takut, sudah banyak kali PR ajak debat tapi Ali larikan diri".

"Saya masih ingat suatu waktu dulu, ADUN Ayer Keroh pernah mengajak beliau berdebat atas isu siapa memalukan Melaka, dia tak berani, lepas itu PAS Bukit Katil ajak debat atas isu menganggu ceramah, Ketua Menteri juga takut" kata Azmi.

Salleh Osman Ali, 56 dari Batu Berendam pula menyokong penuh tindakan PAS Melaka yang berani menyahut cabaran Ketua Menteri kerana ianya dapat menyambahkan pemikiran rakyat supaya tidak hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak sahaja.

"Sebagai rakyat kita mesti peka dan memikirkan akan buruk baiknya segala dasar dan program kerajaan supaya kita dapat menentukan ianya bermanfaat atau tidak kepada rakyat".

"Dengan adanya debat rakyat dapat mendengar pandangan kedua-dua pihak, malangnya Ketua Menteri baling batu sembunyi tangan, bila orang setuju, dia pulak takut" tegas Salleh seorang ahli perniagaan.

Seorang suri rumah Mahani Basir, 40 dari Pengkalan Minyak pula berpendapat isu ini adalah wajar dibincangkan secara terbuka dan ilmiah kerana sebelum inipun ianya tidak dibincangkan secara menyeluruh.

"Apa yang saya tahu ramai rakyat tidak setuju dengan penubuhan sekolah ini kerana ianya seolah-olah menggalakkan remaja berani untuk mengandung luar nikah kerana ada tempat perlindungan".

"Sudah pasti pro dan kontra jadi eloklah debat dijalankan, jangan takut untuk berdebat mungkin hasilnya dapat memberikan manfaat kepada semua". tambah beliau.

Comments