PR PERINTAH MALAYSIA : UMNO TAKUT JADI BAHAN PAMERAN DI MUZIUM

Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad kembali menunjukkan belangnya. Kali ini beliau 'mengingatkan' orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau (yang saya petik dari Utusan hari ini), ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

Kita hairan bagaimana mereka memutarbelitkan fakta sedangkan tidak bukti yang menunjukkan bahawa Melayu terpinggir dan kuasa Melayu hilang semenjak 4 buah negeri (dulu 5 negeri) diperintah PR.

Mahathir dengan mendakwa walaupun Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak, Nizar dikatakan mengikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh.

"Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina."

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” dakwa Mahathir yang pada saya ianya bersifat perkauman.

Semua orang tahu fakta sebenar bahawa Nizar dijatuhkan dengan permainan kotor BN terhadap 3 orang ADUN 'katak' lompat bukannya disebabkan kemarahan rakyat. Yang hilang kuasa di Perak bukan Orang Melayu tetapi Umno.

Dari fakta yang diketahui umum, tidak ada satupun kedaulatan dan maruah orang Melayu yang dijual oleh Nizar sedangkan semenjak 50 tahun BN memerintah, saiz tanah kepunyaan orang Melayu semakin kecil; kuasa Raja-Raja Melayu dikurangkan melalui pindaan perlembagaan; agama Islam semakin terpinggir; maksiat dan perlanggaran hukum-hakam agama semakin membarah dan sebagainya.

jadi sebenarnya bukan orang Melayu dan Islam tergugat jika PR memerintah TETAPI Umno takut parti itu terus lenyap dan menjadi bahan pameran di Muzium.

MELAYU TERKEBELAKANG JIKA UMNO TERUS BERKUASA

Data ekonomi Melayu membuktikan bahawa bila-bila masa sahaja orang-orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika Umno dibiarkan terus berkuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Pada masa ini pun ramai orang Melayu terutama di luar bandar yang hilang kuasa dan suara kerana kemiskinan dan dijerat oleh hutang kepada tauke-tauke.

"Antara sebab perkara tersebut berlaku ialah apabila kekayaan negara tidak digunakan dengan saksama dan bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat keseluruhannya tetapi lebih banyak yang dibolot oleh kroni-kroni Umno," kata beliau.

Keadaan itu, katanya, diburukkan pula dengan kerakusan parti perasuah mencari habuan untuk kepentingan peribadi termasuk merasuah sesama sendiri bagi mencari sokongan untuk berkuasa.

"Para pemimpin parti perasuah pula telah lama hilang kuasa dan suara kepada tauke-tauke yang yang menambat mereka dengan rasuah.

"Bukan setakat hilang kuasa, akibat ditambat rasuah, mereka juga merelakan dasar affirmatif yang sepatutnya membantu orang-orang Melayu diperalatkan untuk menimbunkan lagi kekayaan tauke-tauke yang menjadi tuan-tuan mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau bagaimanapun yakin lebih ramai orang Melayu akan menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan Umno jika pendedahan data ekonomi Melayu menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Pemimpin Umno sendiri yang mengakui bahawa data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu akan menunjukkan kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

"Dengan pengakuan itu, nyatalah orang-orang Melayu telah 53 tahun menjadi mangsa penipuan Umno yang tidak henti-henti berlakon dan berlagak sebagai pembela Melayu," kata beliau.

Beliau menyifatkan data tersebut sebagai bukti yang terang dan nyata tentang ketiadaan iltizam untuk Umno membantu orang-orang Melayu.

Mahfuz mengingatkan orang-orang Melayu bahawa 53 tahun adalah tempoh yang luar biasa lama untuk terus membiarkan diri mereka ditipu.

"Dasar affirmatif untuk membantu orang Melayu yang dilaksanakan kira-kira 40 tahun lalu juga ternyata gagal jika data dan statistik terkini tentang pencapaian ekonomi orang Melayu menunjukkan kedudukan mereka masih terkebelakang.

"Persoalannya, adakah orang-orang Melayu mahu menunggu 40 atau 53 tahun lagi di bawah cengkaman Umno dan terus berangan-angan suatu hari nanti pencapaian ekonomi orang Melayu tidak lagi terkebelakang?" beliau mengingatkan.

Orang-orang Melayu, katanya, tidak lagi memerlukan kerajaan yang tidak berpijak di bumi nyata dengan pelbagai akronim dan pertunjukan angka bertrilion-trilion tanpa perubahan yang fundamental untuk menjamin kedaulatan undang-undang dan peraturan ke atas semua pihak, walaupun di kalangan parti pemerintah.


Harakahdaily

Comments