MELAKA MAJU 2010 : LAPORKAN PENCAPAIAN SECARA JUJUR

Tidak lama lagi kerajaan negeri Melaka akan mengisytiharkan negeri Hang Tuah ini sebagai negeri maju. Khabarnya ia akan diisytiharkan secara rasmi pada jam 8.10 minit malam ( 20.10) pada 20 haribulan 10 (Oktober) tahun 2010 atau ringkasnya 20:10, 20.10.2010. Cantik sekali nombor tersebut sesuai dengan anugerah sebagai sebuah negeri maju.

Sebagai salah seorang rakyat yang tinggal di negeri Melaka saya tidak ketinggalan berasa syukur dengan pengumuman bahawa negeri ini adalah negeri maju jika ia benar-benar maju dari semua segi samada fizikal atau spiritual. Cuma masalahnya benarkah negeri ini maju dari semua segi.??

Cuba kita teliti statistik jenayah, gejala zina, kelahiran anak luar nikah, bilangan kelab malam, pusat pelacuran, Spa dan program-program maksiat, adakah ianya benar-benar menggambarkan negeri Melaka sebagai sebuah negeri maju dari semua segi?

Seterusnya mari kita teliti program dan aktiviti keIslaman di masjid dan surau di seluruh negeri Melaka, apakah benar ianya diimarahkan dengan sebaik-baiknya sehingga ia boleh diklasifikasikan sebagai institusi di sebuah negeri yang dikatakan maju.

Bagaimana pula dengan institusi-institusi seperti JKKK, Persatuan Penduduk, Jawatankuasa Masjid/Surau dan sebagainya, apakah pemilihan dan perlantikannya dibuat secara demokratik tanpa ada diskriminasi dan atas kepentingan diri dan politik. Apakah ianya benar-benar layak digelar sebagai sebuah pentadbiran yang telus yang sesuai dan layak duduk di bawah pemerintahan negeri maju.

Apa pula halnya dengan minda pemimpin kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan negeri dan lain-lain. Apakah mereka benar-benar adil dan tidak mengamalkan kronisme, nepotisme sehingga layak di gelar pemimpin negeri maju.?

Bagaimana dengan rakyat yang menyokong parti-parti politik yang sah selain dari komponen BN, adakah mereka ini dilayan sama seperti penyokong BN dengan mendapat layanan saksama dari segi peluang perniagaan, memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri, jawatan dalam institusi-institusi masyarakat seperti JKKK, JK masjid/surau, persatuan taman/penduduk dan sebagainya. Sedangkan kita masih mendengar rungutan parti-parti politik bahawa banner/poster program mereka dikoyak dan direntap oleh pihak-pihak yang kita semua tahu siapa dibelakangnya. Ceramah-ceramah mereka juga diganggu. Apakah ini standard minda pemimpin negeri maju??

Bagaimana dengan rungutan parti-parti komponen PR yang sering dianaktirikan dari segi penggunaan fasiliti awam seperi balai raya, padang permainan dan sebagainya, hendak menyewa pun tidak dibenarkan. Apakah sesebuah negeri dikatakan maju tetapi mengamalkan system pentadbiran kolot dan tidak bertamadun yang masih mengamalkan politik dendam. Cuba bandingkan dengan system yang diamalkan oleh negeri maju di seluruh dunia apakah cara politik sebegini diamalkan oleh mereka.

Rungutan tentang masalah banjir masih belum padam. Setiap kali hujan lebat rakyat di negeri ini berada dalam keadaan trauma kerana takutkan banjir. Layakkan sesebuah negeri dikatakan maju sedangkan masalah perparitan, taliair dan sebagainya masih juga belum beres.

Seperkara ini yang saya pinta kepada kerajaan negeri, sila keluarkan laporan terperinci INDEK dan INDIKATOR yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk mengukur status samada negeri benar-benar maju. Apa indek/indicatornya dan apa status yang dicapai oleh kerajaan negeri sekarang. Serta dari mana indeks/indicator ini diperolehi adakah ianya direka atau dimanipulasi sendiri oleh kerajaan negeri tanpa ada badan bebas yang bertauliah/berautoriti membuat audit/penilaian samada ianya benar-benar telus dan diterimapakai oleh badan akreditasi dunia.

Comments