RAKYAT MUAK DENGAN KERAJAAN NEGERI

Rakyat semakin muak dengan sikap kerajaan negeri yang sering mendakwa Melaka akan menjadi negeri maju tetapi pada hakikatnya pelbagai masalah rakyat masih gagal diatasi.

Saban hari pimpinan kerajaan negeri mendakwa negeri Melaka maju serba serbi tetapi pada masa yang sama masalah banjir terus menghantui rakyat di beberapa tempat di negeri ini. Isu ini telah berlanjutan sejak beberapa lama dahulu dan tidak jelas bila ia akan dapat di atasi.

Lebih malang lagi menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong setiap kali isu ini diajukan kepada kerajaan negeri, mereka menjawab tiada peruntukan untuk projek mengatasi banjir ini. Tetapi pada masa yang sama mereka menjalankan projek-projek membazir seperti membina sebuah perhentian bas dengan harga lebih dari RM40,000 sedangkan kosnya hanya lebih kurang RM15,000 sahaja.

Khoo berkata inilah antara penyebab mengapa pelbagai masalah rakyat khasnya banjir terus menghantui rakyat kerana duit rakyat tiris dan pembaziran berlaku di mana-mana.

Seorang penduduk Taman Merdeka, Hamid Omar Othman pula berkata kerajaan negeri hanya pandai menjalankan pembangunan tetapi ianya tidak memberi banyak faedah kepada rakyat sebaliknya ia membazirkan duit rakyat.

"Lihat sahaja bagaimana duit rakyat hangus melalui projek Eye On Malaysia, air terjun Bukit Baru dan lain-lain projek"

"Tetapi masalah rakyat seperti banjir, kesesakan di Hospital Melaka tidak diatasi" ujarnya yang sudah lama terlantar sakit.

Comments