DEDAHKAN STATUS TERKINI MELAKA NEGERI MAJU - YUSOF WAHAB

Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab mendesak kerajaan negeri mendedahkan kedudukan terkini negeri Melaka berkaitan status negeri maju. Setakat ini kerajaan negeri tidak pernah mendedahkan status terkini indikator negeri maju kepada rakyat secara rasmi.

Kerajaan negeri tidak pernah mendedahkan secara terperinci dan telus indikator mana yang mereka gunakan untuk mengukur samada Melaka sudah mencapai negeri maju atau tidak.

"Rakyat tertanya-tanya status terkini negeri maju kerana tarikh akhirnya sudah semakin hampir iaitu 20 Oktober 2010".

"Kita bimbang kerajaan negeri masuk bakul angkat sendiri, negeri belum betul-betul memenuhi kriteria negeri maju tapi dah isytihar negeri maju sebab indikator yang mereka gunakan mereka sendiri yang tetapkan, bukannya mengikut piawaian antarabangsa atau standard" tambah Cikgu Yusof.

Menurutnya rakyat semakin sangsi dengan status kemajuan negeri ini kerana terlalu banyak masalah yang masih membelenggu rakyat dan negeri ini antaranya masalah banjir, hutang negeri Melaka yang semakin meningkat, masalah sosial, bilangan rakyat miskin kerana paras garis kemiskinan yang digunakan tidak realistik dan lain-lain.

Oleh kerana itu menurut Cikgu Yusof, kerajaan negeri wajib memaklumkan indikator sebenar yang digunakan serta status terkini yang dicapai supaya rakyat boleh mengukur status sebenar negeri ini.

"Jangan cuba sembunyikan fakta kerana rakyat sebenarnya sudah cerdik dan celik maklumat" tambahnya.

Comments