PAS PELAWA ALI RUSTAM BERDEBAT

Bukit Katil : Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Cikgu Yusof Wahab mempelawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya berdebat dengan kepimpinan PAS dan PR Negeri Melaka atau pusat atas apa juga isu samada isu negeri atau isu nasional demi memberikan kefahaman kepada rakyat negeri ini.

Yusof berkata idea untuk mempelawa Mohd Ali berdebat ini timbul berikutan insiden Umno mengacau ceramah PAS Selasa lalu di mana Ketua Menteri sendiri turun padang menganggu ceramah PAS yang telah lama diaturkan. Umno secara tiba-tiba mengadakan tayangan layar besar siaran langsung Piala Dunia dan ceramah Ketua Menteri di sebelah tempat ceramah PAS.

Menurutnya bagi memberi peluang kepada Ketua Menteri menjawab hujah-hujah PR di hadapan rakyat alangkah baiknya kalau adakan debat secara professional di hadapan rakyat.

“PAS Bukit Katil bersedia menjadi tuan rumah kepada debat itu atas apa juga tajuk yang dipilih oleh Umno dan dipersetujui oleh PAS”.

“Kami bersedia untuk mencarikan tempat, masa dan ahli panel yang sesuai bagi berdepan dengan Ketua Menteri, rakyat Melaka memang menantikan perdebatan ini yang tidak pernah berlaku sebelum ini”. Ujar Yusof.

Beliau berkata rakyat Melaka memang dahagakan maklumat dan fakta terkini tentang isu-isu setempat seperti isu banjir, isu Melaka Maju 2010, isu Eye On, isu Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam dan lain-lain.

“Umno/BN seringkali berdolak-dalik dalam apa juga isu dan mereka sering menyatakan PR mengelirukan rakyat, jadi lebih baik kita berdebat di depan rakyat dan member peluang kepada rakyat bertanya dan berbincang dengan kita” tambah Yusof.
PAS Bukit Katil kata beliau memberikan masa selama seminggu kepada Ali Rustam untuk menjawab pelawaan ini, jika tiada jawapan kami akan menghantar surat rasmi kepada Ketua Menteri mempelawa beliau berdebat dengan wakil PAS dan PR Negeri atau Pusat dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

“Tidak ada gunanya kita bercakap dan melaung-laung dari jauh lebih baik kita duduk sekali, berdebat dan berbincang bersama di depan rakyat bagi merungkaikan apa juga masalah dan kerumitan yang timbul’ ujar Yusof.

Menurutnya Ketua Menteri dan Umno negeri boleh menghubungi PAS Bukit Katil melalui talian telefonnya 013-2186886 atau email penjana@gmail.com.

Comments