BANJIR DI MELAKA : BEBERAPA CADANGAN UNTUK KERAJAAN NEGERI

Masalah banjir yang melanda negeri Melaka masih gagal diatasi walaupun kerajaan sudah membelanjakan ratusan juta untuk projek tebatan banjir.

Di bawah ini dinyatakan pelbagai cara boleh dijalankan untuk mengatasi masalah banjir antaranya:

1) Memastikan Sistem Perparitan yang baik

Parit-parit yang telah cetek dan tersumbat akibat daripada bahan-bahan kumuhan hendaklah sentiasa dibersihkan dari sampah-sampah yang tersangkut menyebabkan aliran air tidak baik dan air bertakung melimpah keluar dari parit di mana air limpahan dan hujan dapat tidak dialirkan dengan baik.

2) Projek mendalamkan Sungai dan membersihkan sungai

Kebanyakan kejadian banjir berlaku kerana kecetekan sungai atau sungai dipenuhi dengan sampah. Jika dahulu sungai mampu mengalirkan sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa, kini pengaliran telah berkurangan disebabkan kecetekannya dan juga kerana air dihalang dari mengalir oleh sampah. Ini disebabkan proses pemendapan dan pembuangan bahan-bahan buangan oleh manusia ke dalam sungai.

Langkah untuk menangani masalah ini ialah dengan menjalankan proses pendalaman sungai dengan mengorek semua lumpur dan kekotoran serta sampah yang terdapat di sungai. Apabila proses ini dilakukan, sungai bukan sahaja menjadi dalam tetapi mampu mengalirkan jumlah air hujan dengan banyak.

3) Memelihara/Memulihara Hutan dan memberhentikan kegiatan menebang hutan serta merta

Kegiatan pembalakan di mana penerokaan di kawasan pinggir sungai digemari menyebabkan tanah terhakis dan runtuh ke sungai. Keadaan yang sama juga berlaku apabila aktiviti pembalakan yang giat dilakukan di lereng-lereng bukit.

Oleh itu pemeliharaan hutan merupakan cara yang baik untuk mengatasi masalah banjir. Hutan boleh dijadikan kawasan tadahan yang mampu menyerap air hujan daripada mengalir terus ke bumi.

Hutan boleh berfungsi sebagai bunga karang (sponge) dengan menyerap air hujan dan mengalir dengan perlahan-lahan ke anak-anak sungai. Ia juga bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air. Hutan mampu menyerap air hujan pada kadar 20%. Kemudian air hujan ini dibebaskan kembali ke atmosfera melalui sejatan pemeluwapan. Hanya dengan ini sahaja pengurangan air hujan dapat dilakukan.

Hutan-hutan yang ditebang mesti dipulihkan dengan menanam pokok-pokok baru sebagai ganti kepada pokok yang ditebang tanpa batasan.

Kegiatan pembalakan dan penebangan hutan juga mesti dihentikan serta merta bagi mengurangkan kesan penebangan hutan ini. Sekarang kegiatan penebangan hutan dilaksanakan tanpa had walaupun dikawasan tadahan hujan.

4) Mengawal Aktiviti Manusia

Banjir kilat yang berlaku terutamanya di bandar disebabkan pembuangan sampah dan sisa industri ke sungai dan parit. Bagi menangani masalah ini, kesedaran kepada masyarakat perlu didedahkan supaya aktiviti negatif ini tidak terus dilakukan seperti mengadakan kempen mencintai sungai dan sebagainya.

Badan-badan tertentu juga harus bertanggungjawab menentukan sungai sentiasa bersih dan tidak dijadikan tempat pembuangan sampah.

Kejadian banjir merupakan malapetaka yang tidak dapat dielakkan terutamanya apabila membabitkan hujan lebat. Bagaimanapun usaha seharusnya dibuat untuk mengurangkan akibat banjir. Manusia juga harus sentiasa berwaspada dengan kejadian ini.

5) Mengawal kegiatan pembangunan

Kegiatan pembangunan di negeri ini juga begitu pesat di mana kita dapati banyak kawasan perumahan, kawasan komersil/perniagaan dan sebagainya didirikan tanpa batasan. Ini mengakibatkan sistem perparitan dan saliran menjadi caca marba dan kelam kabut. Akhirnya apabila hujan lebat berlaku air tidak dapat disalirkan ke laut tidak sistem perparitan yan tidak baik.

Oleh itu kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya serta Majlis Perbandaran mesti menjalankan kajian secara terperinci terhadap isu-isu yang diutarakan di atas dan seterusnya mencari jalan mengatasi masalah tersebut.

Kita tidak mahu wang rakyat berjumlah ratusan juta yang digunakan untuk projek tebatan banjir sebelum ini masih belum mampu untuk mengatasi masalah banjir di negeri Melaka.

Cikgu Yusof Wahab
Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil
Penyelia DUN Bukit Baru

Comments