AL FATIHAH BUAT ABAH

Jam 8.15 pagi, Sabtu 5 Jun 2010 meninggalkan kenangan yang tidak mungkin dilupakan oleh keluarga saya apabila insan tersayang, Ayahanda Othman Basir Mat Teh meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Bukan mudah untuk melupakan semua itu, kerana beliau terlantar mengidap sakit kanser prostat kira-kira 3 bulan di mana sebahagian besar masa dari masa tersebut dihabiskan di rumah kami. Pada hari beliau meninggalkan kami, saya dikejutkan apabila adik memberitahu bahawa abah tercungap-cungap seolah-olah sedang nazak. Memang saya dan isteri serta adik-adik tidak mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi sebegini. Semakin lama semakin kuat cungapan abah. Tetapi ianya hanya mengambil masa yang singkat sebelum beliau pergi mengadap Allah. Mudah sungguh beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Dalam keadaan tersenyum dan dengan sedikit airmata di mata beliau, abah pergi dengan aman.

Semasa hayatnya beliau menghabiskan sebahagian besar dari umurnya berjuang di dalam perjuangan Islam. Abah pernah menjadi sahabat setia Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakub, bekas Ahli Parlimen Bachok. Kalau Ustaz Buniyamin datang ke Pahang sudah tentu beliau akan singgah mencari abah dan mengajak beliau ke tempat program. Abah akan memandu kereta beliau ke mana sahaja.

Begitu dengan Haji Suhaimi Said seorang lagi teman lama abah. Semasa Hj Suhaimi Said menjadi pimpinan PAS Temerloh, Abah adalah pemandu setia Haji Suhaimi kemana sahaja Haji Suhaimi pergi ke seluruh pelusuk tanah air.

Seorang sahabat baik Abah ialah bekas ADUN Guai, Mejar (B) Haji Abdul Aziz Yaakub. Sebagai rakan semasa bersekolah, persahabatan mereka kekal sehingga bersama dalam perjuangan Parti Islam SeMalaysia.

Abah juga pernah memimpin 2 cawangan PAS iaitu Cawangan PAS Kg Pengkalan Jaya dan cawangan Kampung asalnya iaitu Kg Batu Papan.

Abah memang cukup dikenali oleh pemimpin dan ahli PAS khasnya di kawasan Temerloh kerana beliau adalah pengedar akhbar HARAKAH yang sejak dari awal penubuhannya media tersebut.

Abah dilahirkan pada tahun 1947 di Batu Papan. Mendapat pendidikan di Sekolah Batu Papan dan seterusnya ke Abu Bakar School Temerloh. Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia selama 10 tahun. Selepas beliau berniaga. Perniagaan terakhir beliau ialah sebagai Pengedar akhbar Harakah di seluruh Daerah Temerloh.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh abah dan ditempatkan bersama para anbia, syuhada dan muttaqin.

Anak cucu akan sentiasa mengingati abah kerana jasa dan kasih sayang yang tidak mampu kami balas.

Al Fatihah.

Catatan : Abu Haziq

Comments

teratailiar said…
semoga rohnya dicucuri rahmat...
bersabar dan berdoalah banyak2...
kita semua akan pergi juga...