POLITIK MALAYSIA PASCA PRK HULU SELANGOR DAN SIBU

Semenjak Tsunami politik pada Pilihanraya Umum Mac 2008, BN berada dalam keadaan murung dan resah sehingga ke hari ini. Manakan tidak, kalau dahulu pada setiap kali pilihanraya samada pilihanraya umum atau kecil, BN sudah penuh yakin akan menang mudah terutama di kawasan pedalaman, luar Bandar dan kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat mereka. Tetapi kini legasi itu sudah hilang dari arus politik Malaysia. Rakyat sudah semakin matang dan cerdik membuat penilian.

Rasuah, politik wang dan ugutan

Kalau dahulu duit, ugutan, rasuah, janji dan mulut manis pemimpin BN sudah cukup membuatkan pengundi mengalirkan air liur mereka mengundi BN malah bekerja kuat untuk memenangkan BN tetapi kini semuanya sudah tidak berlaku lagi. Walaupun jutaan malah billion ringgit dijanjikan kepada rakyat oleh BN sewaktu kempen pilihanraya namun itu belum tentu ‘mencairkan’ hati rakyat untuk mengundi calon BN.

Rakyat sudah bijak menilai siapa yang harus mereka undi dan angkat untuk menjadi wakil rakyat mereka samada di peringkat Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat (Parlimen). Sejarah silam dan ‘track record’ BN dan wakil rakyat BN dinilai dan ditapis oleh rakyat sebelum membuat keputusan siapa yang harus mereka undi.

Rakyat telah sedar bahawa calitan tidak sampai 5 saat di atas kertas undi amat penting walaupun ianya kerja yang amat mudah dan senang. Mereka sudah sedar impak dan implikasi yang bakal mereka hadapi dari calitan ringkas tersebut. Ianya bukan sekadar calitan main-main tetapi ianya menentukan masa depan negara, kedaulatan negara, masa depan rakyat, agama dan bangsa.

Kalau dahulu rakyat boleh ’termakan’ dengan kain batik, sekampit beras, setin Milo dan sekilo gulan tetapi kini belum tentu barangan asasi tersebut akan menyebabkan mereka mengundi BN. Malah janji projek bernilai bilion ringgit pun tidak mampu mempengaruhi minda matang mereka.

Hal ini paling ketara di kalangan pengundi kaum Tionghua. Keputusan Pilihanraya Umum Mac 2008 dan beberapa pilihanraya kecil pasca Pilihanraya Umum itu menunjukkan sokongan melonjak kaum Tionghua kepada PR (DAP, PKR dan PAS). Paling ketara ialah di Bukit Gantang, Hulu Selangor dan Sibu di mana purata sokongan pengundi Cina kepada PR mencecah sehingga 80 % di sesetengah peti undi. Di kebanyakan tempat pula sokongan mereka adalah di sekitar 70 – 80 %. Ini sesuatu yang cukup mengerikan BN kerana sebelum PRU 2008, pengundi Cina adalah sebahagian besarnya pengundi tegar BN.

Persempadan Semula Kawasan Pilihanraya

Tindakan BN yang menyalahgunakan kuasa melalui SPR membuat persempadanan semula pilihanraya dengan memperbanyakkan kawasan campuran iaitu peratusan pengundi bukan Melayu sekitar 30-50% akhirnya memakan diri mereka. Ini kerana jika 70 % pengundi bukan Melayu khasnya Tionghua mengundi PR maka sudah tentu BN akan tergolek. Inilah sebabnya majoriti 2/3 BN berjaya dinafikan kerana banyaknya kerusi campuran yang dimenangi oleh DAP, PKR maupun PAS.

Paling jelas pada PRK Sibu minggu lalu, DAP yang sebelum itu dilihat mustahil untuk menang di Sibu akhirnya berjaya melalukan upset, sesuatu yang diluar jangkaan ramai. Walaupun ramai yang menjangkakan pertarungan DAP-BN di Sibu adalah sengit tetapi tidak ramai yang yakin DAP akan memberikan pukulan maut kepada BN. Ini kerana mereka melihat lokasi Sibu yang agak pedalaman tidak memungkinkan rakyatnya menerima tempias dari Kuching atau Semenanjung. Namun akhirnya sangkaan dan ramalan mereka meleset.

Jelas sekali 66 % pengundi Tionghua memberikan sokongan padu kepada DAP sehingga berjaya menenggelamkan kira-kira 2,500 undi pos dan undi dari masyarakat Melayu/Melanau dan Iban di Sibu. Secara kasarnya lebih dari 75 % pengundi Tionghua mengundi DAP walaupun dimomokkan dengan pelbagai isu seperti isu negara Islam dan lain-lain.

Selepas Pilihanraya Umum 1999, BN mengambil langkah memecahkan banyak kawasan parlimen majoriti melayu dijadikan kawasan campuran antaranya Pokok Sena, Kuala Kedah, Yan (Jerai) dan lain-lain. Di mana kawasan ini yang dimenangi oleh PAS pada PRU 1999 akhirnya kembali ke tangan BN pada PRU 2004 akibat tindakan BN/SPR memasukkan kawasan padat pengundi Tionghua ke kawasan tersebut. Namun pada PRU semua kawasan tersebut di tawan kembali oleh PAS dengan sokongan padu pengundi Tionghua dan India.

Kini BN tersepit. Mereka tidak mempunyai majoriti 2/3 di parlimen untuk membuat persempadanan baru. Itulah sebabnya BN membuat kerja bagai hendak gila membeli dan memujuk Ahli-Ahli Parlimen PR supaya melompat menyertai BN atau menjadi bebas. Walaupun ada segelintir yang menjadi katak, monyet dan ketam menyertai BN tetapi bilangannya belum cukup untuk memungkin BN mendapat kembali 2/3 majoriti di parlimen.

Pakatan Rakyat

Sebelum Pakatan Rakyat (PR) diasaskan selepas Pilihanraya Umum ke 12, pelbagai usaha dilakukan untuk menyatupadukan pakatan parti selain BN. Menjelang PRU 1990 Angkatan Perpaduan Ummah (APU) digagaskan oleh PAS, Semangat 46, Hamim, dan Berjasa, manakala Semangat 46 pula berjinak-jinak dengan DAP melalui Gagasan Rakyat. APU hanya bertahan sehingga PRU 1995 apabila pemimpin dan ahli Parti Melayu Semangat 46 akhirnya rujuk kembali kepada Umno. Selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno, Allahyarham Ustaz Fadhil Noor dan pemimpin-pemimpin parti politk dan NGO menubuhkan Gerak. Selepas itu Parti KeADILan Nasional (PKN) ditubuhkan dan akhirnya gagasan Barisan Alternatif (BA) diasaskan oleh PAS, PKN dan DAP bagi menghadapi pilihanraya umum 1999.
BA telah menunjukkan prestasi yang baik apabila memperolehi undi majoriti dari pengundi Melayu tetapi gagal mendapat undi majoriti dari pengundi bukan Melayu. Hasilnya BA berjaya memperolehi keputusan yang amat baik dengan mempertahankan kerajaan Kelantan dan merampas negeri Terengganu. Selain itu memenangi beberapa banyak kerusi di Kedah, Selangor, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis.

Namun begitu DAP membuat keputusan untuk keluar dari BA selepas PRU 1999 kerana mendapati faktor kurangnya sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP adalah kerana kerjasama mereka dengan PAS dan PKR dalam BA. Pada PRU 2004 BA kalah teruk di apabila melepaskan kembali Terengganu kepada BN dan hanya menang majoriti 1 kerusi sahaja di Kelantan.

Walaubagaimanapun BA yang terdiri dari PAS dan PKR terus melipatgandakan usaha mereka mendekati rakyat termasuk bukan Melayu dan hasilnya pada PRU 2008 BA dan DAP berjaya meraih kejayaan gilang gemilang apabila berjaya menubuhkan kerajaan campuran di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan. Peristiwa kerjasama erat PAS, DAP dan PKR menubuhkan kerajaan campuran di Perak akhirnya menjuruskan tertubuhnya Pakatan Rakyat secara rasmi seperti yang kita lihat hari ini.

Kerjasama dan perpaduan yang erat antara ketiga-tiga parti ini membuahkan hasil yang baik apabila memenangi kesemua pilihanraya kecil pasca PRU 2008 kecuali Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan) dan Hulu Selangor (Selangor).

Namun begitu keputusan PRK Hulu Selangor dan Sibu baru-baru ini benar-benar mengerikan BN apabila rakyat dilihat terus utuh dan kukuh memberikan sokongan kepada PR khasnya pengundi Tionghua. Manakala sokongan pengundi Melayu kepada PR tidak luntur di mana undi yang diperolehi oleh PR tidak merosot dengan banyak.

Usaha BN merobohkan tembok perpaduan PR menjadi sia-sia walaupun mereka berjaya ’membeli’ wakil rakyat PR dari PKR dan DAP keluar parti tetapi semua ini tidak mampu menggugat keutuhan dan perpaduan dalam PR. Peristiwa rompakan kuasa di Perak dan kerjasama erat PR pada semua pilihanraya kecil pasca PRU 2008 mengukuhkan lagi lagi kesepaduan dan keserasian PR.

Isu negara Islam.

Isu negara Islam yang selama ini menjadi penghalang kepada kerjasama PAS-DAP akhirnya berjaya diselesaikan dengan sendirinya oleh pemimpin kedua-dua parti. Pemimpin PAS secara jelas menyatakan bahawa prinsip perjuangan PAS adalah Islam dan PAS tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang berkaitan dengan Islam. Namun begitu PAS akan sentiasa bersahabat dan berkawan dengan sesiapa sahaja dalam soal-soal pokok seperti menegakkan kebenaran mencegah kemungkaran seperti rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, kronisme, nepotisme dan sebagainya. Atas dasar inilah PAS akan tetap bekerjasama dengan DAP bagi membebaskan Malaysia dari cengkaman BN yang telah bermaharajalela lebih dari 60 tahun memerintah.

Umno/BN cuba memainkan isu Negara Islam pada PRK Sibu setelah mereka gagal mengelirukan pengundi bukan Melayu di Semenanjung dengan isu ini pada PRU 2008 dan Pilihanraya kecil pasca PRU 2008. Hasilnya Umno/BN sendiri terkejut kerana pengundi Sibu tidak ’termakan’ dengan isu ini. Pengundi Sibu lebih mementingkan isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka sendiri termasuk isu yang melibatkan rasuah, penyelewengan, ketidakadilan, judi dan sebagainya.

Akhirnya Umno/BN terpaksa akur bahawa isu Negara Islam sebenarnya sudah difahami oleh rakyat Malaysia termasuk rakyat yang bukan Islam.

Politik Malaysia menjelang PRU 13

Ramai yang menjangkakan PRU 13 akan berlangsung tahun depan seawalnya April 2011. Mereka berpendapat Perdana Menteri, Najib tidak boleh menunggu lebih lama untuk membubarkan parlimen kerana semakin lama beliau tunggu pengaruh BN semakin pudar dan berkurangan. Tekanan dalaman dan luaran terhadap pemerintahannya tidak memungkin beliau menunggu lama untuk mencataskan lawan politik dalamannya. Isu-isu seperti Apco, Judi, Ekonomi, jenayah dan isu peribadi beliau tidak mampu dibendung lagi. Mahu tidak mahu beliau terpaksa berhadapan dengan rakyat dalam jangkamasa singkat ini.

Kini BN benar-benar tersepit. Senjata tradisional mereka seperti penggunaan rasuah, politik wang, ugutan, projek segera, janji manis, isu negara Islam, isu perkauman dan sebagainya sudah tidak dilayan oleh rakyat.

Apa yang mereka ada sekarang ialah mengeksploitasikan 100 % SPR, Jabatan-jabatan kerajaan, peneroka Felda, Undi pos bagi menyelamatkan mereka dari terpaksa meninggalkan Putra Jaya secara terhormat.

PR pula mesti menggunakan kesempatan terbaik ini untuk bertakhta di Putra Jaya dan memulakan era baru politik Malaysia. Namun begitu kerja ini bukannya suatu perkara yang enteng dan mudah lebih-lebih lagi terpaksa berhadapan dengan sebuah kerajaan bukannya parti pada mana-mana pilihanraya. BN dengan bantuan segala ’bala tentera’ mereka sudah pasti tidak akan memberikan laluan mudah untuk PR berkuasa. Pelbagai taktik yang licik dan licin yang akan digunakan untuk menjadikan mimpi PR tidak menjadi kenyataan. ’By hook or by crook” BN akan mempertahankan kuasanya tanpa memperdulikan undang-undang, Islam dan demokrasi, Bagi BN, mereka boleh melakukan apa sahaja kerana kuasa ada di tangan mereka. Sebarang usaha untuk merobohkan tembok BN yang sudah berkematu ini sudah tentu memerlukan semangat, perancangan rapi dan sistematik serta pengorbanan yang bukan sedikit.

Sementara masih ada jentera PR mesti melipatgandakan usaha menyedarkan rakyat khasnya orang Melayu supaya menyokong PR. Jika PR berjaya mempertahankan sokongan bukan Melayu seperti di tahap sekarang dan melonjakkan sokongan pengundi Melayu kira-kira 10 % lagi, Insya Allah BN akan tergolek dan terpaksa melarikan diri di waktu malam dari Putra Jaya.

Comments