KIBARAN PERJUANGAN PRK HULU SELANGOR KINI BERMULA

Berakhir sudah kemelut serta drama cemas ciptaan kem BN dalam pusingan awal PRK Hulu Selangor ini. Akhirnya P.Kamalanathan yang menurut sumber pernah tewas dalam pemilihan sebagai Ketua Pemuda MIC Bahagian Selayang menjadi calon alternatif MIC dan BN setelah nama asal calonnya iaitu Palanivel dan V.Mugilan terpaksa dikorbankan demi memuaskan hati semua pihak dalam jentera BN. Kekalutan yang amat berat dipikul untuk memilih calon BN ini menampakkan jalan berliku serta berduri yang perlu ditempuhi semua jentera BN yang dikepalai UMNO di Hulu Selangor ini.

Berlainan pula dengan kesepakatan padu serta jalinan kerjasama yang utuh dalam Pakatan Rakyat(PR) yang telah menamakan Dato Zaid Ibrahim sebagai calon tunggalnya, menampakkan riak keserasian serta kesepakatan yang bakal menjadi senjata bak peluru dalam pertempuran menjelang hari penamaan calon sehinggalah ke hari pengundian nanti.

Suatu pertembungan yang memerlukan daya juang yang utuh serta padu, membenteng diri serta menyerang musuh bak satria, menjalin isu serta penerangan setiap masa, mengatur strategi dan congak yang mengena, menjaja calon dan visi ke seluruh ceruk, semuanya akan menjadi suatu pertarungan yang lebih dinamik serta dramatik demi melahirkan penginovasian murni dalam demokrasi. Salam serta santuni lebih 63,000 pengundi Hulu Selangor pasti cahaya kemenangan akan ternyala disetiap sisi urat saraf tangan-tangan mereka.

Lupakan isu calon BN, jauhkan karenah KJ yang masih kecewa tanpa pangkat, jangan layan Aziz dengan lakonan hebat cedera dipukul di Bagan Pinang, pedulikan Noh yang menabur janji palsu jutaan ringgit, jangan kisah datangnya Isa Samad dengan puteri barunya, biarkan Khir Toyo dengan penyapunya, jangan layan PERKASAM yang menyepi dengan calon Melayunya, jangan hirau Muhyiddin yang sering menipu rakyat dan biarkan Samy menabur janji serta projek kemewahan, dan walau apapun yang akan berlaku yang pasti kesemua mereka akan digempur habis-habisan demi maruah serta tekad perjuangan yang dirintis pimpinan pakatan, kunjungi semua pengundi tidak kira kaum, jejaki seluruh denai orang asli dan pengundi senyap, ibarat kata pepatah Melayu mengenggam biar sampai jadi abu, melujur lalu melintang patah, yang pasti kibaran bendera perjuangan akan terpacak dipersada politik negeri Selangor.

Ayuh semua pejuang, heningan subuh dan hembusan nafas perjuangan pagi sabtu 17 April 2010 ini menyambut kedatanganmu. Tunjukkan lagak serta keberanian mu, tonjolkan ukhuwwah dan tawadukmu, luruskan saf serta satukan niatmu secara komited dan disiplin yang jitu, sebarkan Islam dengan semangat waja mu setiap detik dan walau di mana dirimu berada, dispilinkan safmu dalam perjuangan yang murni, bersatu erat didepan demi Islam bertapak di bumi Malaysia ini.

Putera Melaka.

Comments

zuhairy said…
semoga kemenangan berpihak kepada PR.