PR MELAKA DAPAT SAMBUTAN HEBAT

Pakatan Rakyat negeri Melaka melipatgandakan usaha mendekati rakyat pelbagai lapisan masyarakat dengan mengadakan pelbagai program. Minggu lepas Pemuda PR Melaka mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina bertempat di Taman Sin Hoe Bukit Baru. Lokasi rumah terbuka itu terletak di dalam DUN Bukit Baru dan Parlimen Bukit Katil di mana ADUN Bukit Baru adalah Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


Program anjuran bersama Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Pemuda DAPSY Negeri Melaka dan Angkatan Muda Keadilan Negeri Melaka berjaya menarik seramai kira-kira 1000 orang pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.


Kehadiran pengunjung yang bertali arus membuktikan bahawa PR Melaka semakin diterima oleh rakyat Melaka khasnya masyarakat Tionghua.


Pelbagai acara telah diadakan antaranya tarian singa, ucapan pimpinan PR dan lain-lain.


Antara pimpinan PR yang hadir pada program tersebut ialah Ketua DAPSY yang juga Ahli Parlimen Rasah,YB Anthony Loke Siew Fook; Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Selat Kelang, YB Dr Hajah Halimah Ali, Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishan, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari, Pengerusi DAP Melaka YB Goh Leong San dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.


Dalam ucapannya kepada hadirin, YB Anthony Loke berkata bahawa beliau optimis PR akan mendapat sokongan yang lebih hebat pada Pilihanraya Umum 13 nanti berdasarkan situasi dan isu-isu semasa yang jelas memihak kepada PR.


“Saya sudah kenal siapa Umno, MCA, MIC dan Gerakan, mereka akan membuat perubahan secara total dengan menolak BN yang sudah semakin lemah sekarang”.


“PR juga akan mendapat kemenangan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di mana berdasarkan keputusan Pilihanraya Umum ke 12 ketiga-tiga negeri itu sudahpun menunjukkan prestasi yang membanggakan” tegas Siew Fook yang juga merupakan ADUN Lobak dan Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan.


Beliau berkata BN sudah semakin lemah dan tenat sekarang kerana krisis dalaman parti-parti komponen BN semakin meruncing khasnya MCA dan PPP.


Siew Fook juga gembira dengan semangat kerjasama yang erat antara DAP, P AS dan PKR di Melaka di mana program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina ini membuktikan bahawa kerjasama itu semakin erat dan mantap.


Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek berkata DUN Bukit Baru sengaja dipilih sebagai lokasi program Rumah Terbuka ini kerana ianya melambangkan bahawa kepimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditolak oleh rakyat kerana kes rasuah, pembaziran dan kelemahan pemerintahan kerajaan negeri pimpinannya.


“Kita ingin menghantar mesej kepada Ali Rustam bahawa rakyat di dalam DUNnya sendiri bangkit menentang beliau dan kerajaan BN Negeri Melaka”.


“Rakyat sudah muak dan bosan dengan sikap Ali Rustam yang tidak malu dan tidak bermaruah sehingga masih sanggup memegang jawatan Ketua Menteri wakaupun terbukti beliau mengamalkan rasuah” tegas Ustaz Kamaruddin.


Beliau seterusnya sekali lagi mendesak Ali Rustam supaya berundur dari jawatannya dengan serta merta sebelum rakyat Melaka menghukum beliau pada Pilihanraya Umum akan datang.


Beberapa pimpinan lain juga turut berucap antaranya Dr Halimah Ali, Gobalakrishnan dan Goh Leong San.


Salah seorang pengunjung yang ditemui, Ah Xi Xen, 35 dari Bachang berkata program rumah terbuka tahun baru Cina anjuran PR ini benar-benar melambangkan perpaduan dan hubungan erat masyarakat pelbagai kaum yang menyokong PR.


“Saya sangat gembira dengan program ini sebab semua kaum datang merayakan rumah terbuka ini tanpa rasa malu”.


“Ini merupakan contoh terbaik kepada rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum” kata Ah Xie Xen.


Muniandy, 42 dari Bukit Baru pula mengucapkan terima kasih kepada PR kerana berjaya mengadakan program seumpama ini yang pertama kali diadakan oleh ketiga-tiga dalam PR.


Beliau mengharapkan kerjasama erat dalam PR dapat ditingkatkan bagi memastikan PR dapat memerintah negeri Melaka selepas Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Comments