PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN : CONTOHI PULAU PINANG

Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri lain supaya mencontohi kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu mengujudkan pilihanraya Majlis Kerajaan Tempatan bagi memberikan peluang kepada rakyat memilih pemimpin yang mereka sukai diperingkat kerajaan tempatan.

Bagi saya pilihan raya itu mampu mengembalikan keberkesanan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Ini kerana pemimpin yang diangkat menjadi ahli majlis kerajaan tempatan sudah tentu akan bertanggungjawab sepenuhnya dengan janji-janji mereka semasa berkempen dalam pilihanraya tersebut. Mereka juga sudah pasti akan menyediakan manifesto mereka sendiri bagi merancangkan pembangunan dan pengurusan kerajaan tempatan yang mereka wakili.

Kita dapati banyak masalah dan kelemahan yang berlaku di peringkat kerajaan tempatan sekarang adalah kerana kegagalan pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh rakyat. Ada diantara ahli majlis yang dilantik tidak layak dan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan tempatan. Akhirnya pengurusan kerajaan tempatan lemah dan lembap serta menyusahkan rakyat.

Dari itu sudah sampainya masanya pilihanraya kerajaan tempatan ini diujudkan kembali sebagaimana yang pernah berlaku kira-kira 40 tahun lalu di mana ketika itu kerajaan Perikatan telah menjalankan pilihanraya majlis tempatan. Namun selepas itu ianya telah dihentikan.

Comments