Muhyiddin Yassin berkata di bawah MEB, semua kaum akan mempunyai peranan dan peluang yang sama untuk menggilap potensi masing masing serta bersaing secara adil dalam sektor ekonomi.
Beliau percaya apabila setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama mendapat jaminan hak yang adil, perpaduan dan keharmonian kaum dapat direalisasikan.
Tujuan dan objektif MEB ini baik, namun begitu bagi saya ianya akan gagal jika kerajaan gagal membasmi rasuah, kronisme dan salah guna kuasa. Faktor inilah sebenarnya yang menggagalkan DEB dahulu.
Banyak peluang perniagaan dan projek-projek dibolot oleh kroni-kroni BN sehingga menafikan hak peniaga-peniaga atau usahawan yang berpotensi dan kompeten. Faktor ini menyebabkan projek-projek itu di'Ali Baba'kan selain berlaku ketirisan dan sebagainya. Amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga menjadi penyebab kegagalan DEB. Akhirnya kroni-kroni menjadi jutawan dan hidup senang lenang.
Usahawan yang berdaya maju dan kompeten tertinggal di belakang dan akhirnya tutup kedai. Kekayaan dan projek dibolot oleh sejumlah kecil peniaga dan usahawa yang rapat dengan orang tertentu. Bumiputera yang layak tidak mendapat tempat kerana amalan kronisme dan rasuah.
Saya yakin jika amalan negatif seperti di atas tidak diamalkan sekurang-kurangnya DEB tidaklah gagal sebegitu teruk. Jika kerajaan mengulangi skrip yang sama dalam pelaksanaan MEB perkara yang sama mungkin berulang.
Namun begitu sebagai rakyat kita mahu melihat dan mengkaji dahulu dasar, perancangan dan intipati MEB. Apakah ianya benar-benar boleh diterima atau tidak kita kaji dan teliti dahulu.
Comments