MCA KETANDUSAN PEMIMPIN BERKALIBER

Keputusan bekas Presiden MCA, Ong Ka Ting bertanding jawatan Presiden MCA membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa MCA ketandusan pemimpin berkaliber. Keputusan tersebut dilihat benar-benar memberikan tamparan hebat kepada MCA yang gagal menyelesaikan kemelut politik dalaman parti sejak sekian lama.

Kepimpinan Tee Keat ternyata tidak dihormati oleh pimpinan pusat dan negeri serta juga ahli bawahan. Apa juga keputusan yang dibuat oleh Tee Keat ditentang secara terang-terangan ataupun secara senyap.

Keputusan sebahagian besar Jawatan Kuasa Pusat (CEC) yang terpaksa meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula merupakan langkah terakhir kerana semua keputusan sebelum itu tidak dituruti oleh Jawatankuasa Pusat (CEC).

Jelas sekali tidak ada seorang pun pemimpin yang mampu menyatupadukan MCA hatta campurtangan Muhyiddin Yassin serta Najib sendiri tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya MCA terpaksa mencari jalan lain iaitu meminta bekas Presiden Ong Ka Ting keluar dari 'persaraan' dan kembali menyingsing lengan di gelanggang politik.

Rakyat melihat senario ini dari dekat dan mereka sudah tentu dapat menafsirkan situasi ini. Antara lain rakyat melihat bahawa sebahagian besar kepimpinan MCA yang ada sekarang lebih mementingkan pangkat, kedudukan dan kuasa dari kepentingan negara dan rakyat. Masing-masing mahu menjadi Presiden. Sebab itu mereka tidak boleh berdamai, asyik mencari kesalahan orang lain untuk menjahanamkan antara satu sama lain.

Kemelut ini saya kira sukar untuk diselesaikan hatta kemenangan berpihak kepada Ka Ting sekalipun.

Kepada rakyat semua, lihatlah bagaimana gelagat pemimpin BN dan parti komponennya. Mereka meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat dan negara.

Comments