Saya kesal dengan tindakan DUN Melaka yang awal-awal lagi menolak semua usul-usul yang di bawa oleh ADUN Pakatan Rakyat negeri Melaka pada Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka yang akan berlangsug bermula Isnin hingga Khamis ini.
Kesemua soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN PR itu telah dihantar kepada Setiausaha DUN mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Malangnya jawapan yang diterima amat mengecewakan apabila kesemua soalan tersebut ditolak.
Antara usul yang dikemukakan ialah mendesak Ketua Menteri dan semua exco-exco kerajaan negeri Melaka mengisytiharkan harta masing-masing; menggesa kerajaan negeri memperincikan perancangan membina pulau buatan yang dinamakan Pulau Jalur Gemilang.
Tindakan DUN Melaka menolak usul-usul ini jelas membuktikan DUN Melaka tidak demokratik dan membelakangkan kepentingan rakyat kerana semua soalan yang dikemukakan oleh ADUN PR adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat.
Mengapa kerajaan negeri takut untuk membahaskan isu tersebut jika mereka telus dan professional. Berani kerana benar, takut kerana salah.
Rakyat Melaka berhak mengetahui semua perancangan dan projek-projek yang dijalankan oleh kerajaan kerana ianya melibatkan duit rakyat sebagai pembayar cukai.
Kita tidak mahu kerajaan negeri membelanjakan duit rakyat dengan sewenang-wenangnya tanpa dipertanggungjawabkan.
Selain itu rakyat juga berhak mengetahui kekayaan Ketua Menteri dan Exco-exconya kerana jika didapati kekayaan mereka tidak munasabah dan sepadan dengan pendapatan mereka maka sudah pasti rakyat akan berasa sangsi dengan integriti pemimpin mereka.
Pemimpin itu sendiri berhak membebaskan diri mereka dari tuduhan dan syak wasangka rakyat dengan mengisytiharkan harta mereka secara jujur dan telus.
Comments