BUKAN BERHIMPUN TAPI HAYATI PERJUANGAN NABI

Bukan perhimpunan yang menjadi kewajipan kepada kita semua tetapi melaksanakan apa yang Rasulullah S.A.W suruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Baginda menjadi kemestian. Namun pada hari ini ianya sudah terbalik. Perhimpunan Maulidur Rasul seolah-olah menjadi wajib manakala suruhan dan larangan Baginda dipandang enteng.
Maka tidak hairanlah pada hari ini ramai orang Islam seolah-olah mempersendakan Rasulullah. Ketika perhimpunan merekalah menjadi juara tetapi dalam bab pemerintahan Islam, undang-undang Islam, perjuangan menegakkan Islam, sistem ekonomi Islam, sistem pendidikan Islam, mengamalkan makruf dan mencegah kemungkaran mereka abaikan.
Dalam bab yang menjadi kewajipan fardhu Ain pun seperti menutup aurat yang nampak mudahpun mereka permain-mainkan. Cuba telek isteri pemimpin negara berapa ramai yang menutup aurat. Begitu juga Pemimpin wanita sebuah parti yang mendakwa parti Islam ketiga terbesar di dunia, hal-hal aurat ini dipandang sepi.
Jadi mulai pada hari ini marilah cinta mencontohi Rasulullah dengan ikhlas dan jujur. Jangan hanya ikut Rasulullah dalam bab yang kita suka sahaja tetapi dalam bab lain yang lebih besar kita tinggalkan.
Semua orang tahu Rasulullah adalah seorang suami, ayah, pemimpin negara, panglima perang dan lain-lain yang terbaik pernah dilahirkan di atas dunia. Dari itu teladanilah baginda. Insya Allah semuanya akan selamat dan sejahtera. Jangan kita perkecil dan persendakan sirah Rasulullah dan kewajipan mentaati sunnahnya.

Comments