SPR TIDAK IKHLAS DAN MENGARUT

SPR minggu lalu mengumumkan bahawa kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah bumiputera.



Menurut kenyataan itu Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000) dan Sarawak (473,000) yang masih belum mendaftar diri mereka menjadi pemilih. Jika ditakdirkan terjadi pilihanraya dalam masa terdekat (kurang dari 6 bulan) sudah pasti mereka akan terlepas dari mengambil bahagian sebagai pengundi berdaftar kerana proses pendaftaran pemilih biasanya memakan masa sekurang-kurang 6 bulan.

Persoalannya mengapa begitu ramai rakyat yang tidak peka dan tidak sensitif dengan kewajipan menjadi pemilih.

Malang sekali setiap kali kita membicarakan masalah ini, SPR menuding jari ke arah rakyat yang tidak peka dan tidak tahu kewajipan mereka sebagai rakyat. Ikhtiar dan program pendaftaran pemilih secara bergerak dan sebagainya telah dilakukan oleh SPR. Agen Penolong Pendaftar pemilih di kalangan orang perseorangan dan anggota parti sudahpun dilantik dan beroperasi sejak beberapa lama dahulu. Tetapi hasilnya tidak seberapa.

Bagi saya SPR sebenarnya tidak berusaha atau sengaja tidak mahu berusaha untuk memastikan 100 % rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih. Kalau sekiranya semua sistem dan tradisional iaitu pendaftaran secara manual gagal, SPR sepatutnya beralih kepada cara yang lebih moden, konvesional dan terkini.

Pada saya masalah ini berlaku kerana SPR dan kerajaan tidak mahu mengubah sistem yang ada. Mengapa mereka tidak mahu mengubahnya, kita pun tidak pasti.


Jalan penyelesaian bagi masalah ini mudah sahaja, jika SPR dan Kerajaan benar-benar ikhlas mahu memastikan semua rakyat berumur 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih, SPR mesti mewujudkan sistem pendaftaran automatik di antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. Di mana dari ‘database’ JPN hubungkan dengan ‘database’ SPR. Mana-mana warganegara yang berumur 21 tahun ke atas akan secara automatik menjadi pemilih.

Perkara ini sudah pasti boleh dilakukan kerana kita tahu ianya tidak susah dan tidak begitu rumit. Kalau dalam perkara-perkara lain kerajaan boleh menaiktarafkan perkhidmatannya dengan menggunakan sistem e-government dan on-line (atas talian) mengapa dalam perkara ini ianya tidak boleh dilaksanakan. Itu persoalan yang bermain di minda rakyat dan parti-parti politik. Apakah ada usaha yang sengaja tidak mahu sistem ini diamalkan dalam urusan pendaftaran pemilih.

Alternatif kedua untuk mengatasi masalah ramai yang tidak mendaftar sebagai pemilih ialah dengan mewujudkan undang-undang mewajibkan semua rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendaftar sebagai pemilih sebagaimana kewajipan membuat kad pengenalan. Mana-mana rakyat yang gagal mendaftar sebagai pemilih diambil tindakan seperti didenda atau dihukum dengan hukuman-hukuman lain.


Saya yakin jika sistem diatas dilaksanakan khasnya cadangan yang pertama, sudah pasti 100 % rakyat akan menjadi pemilih berdaftar dan tidak perlu SPR terhegeh-hegeh mencari jalan untuk mendaftarkan rakyat untuk menjadi pengundi.

Persoalannya mengapa sistem di atas tidak mahu dilaksanakan sedangkan kerajaan melaung-laungkan bahawa kita semua sedang menuju ke arah sistem elektronik dan on-line. Tetapi dalam bab ini mereka seolah-olah tidak serius menggunakan sistem e-pendaftaran ini.

Aktivis parti juga tidak mendaftar

Ramai penyokong dan ahli parti-parti politik sendiri tidak sensitif tentang pendaftaran pemilih. Perkara ini terbukti sejak dari dahulu, kini dan mungkin selamanya. Lebih malang lagi ada anak, cucu, isteri dan sanak saudara pimpinan parti-parti politik seperti PAS, UMNO dan lain-lain juga tidak mendaftar sebagai pemilih.

Menurut sumber yang boleh dipercayai banyak program turun padang yang dijalankan oleh PAS membongkar perkara ini. Ada di antara penyokong dan ahli PAS yang dilawati mempunyai 4 orang anak umur mereka melebihi 21 tahun tetapi belum mendaftar sebagai pemilih. Jadi siapa yang harus kita persalahkan.

Bayangkan kalau anak pimpinan parti politik pun tidak mendaftar sebagai pemilih, sudah tentu anak dan kaum kerabat kepada mereka yang tidak berminat politik sudah tentu mendaftar sebagai pemilih juga. Jadi tidak hairan kalau SPR menyatakan bahawa 4.9 juta rakyat yang layak masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Majoriti dari mereka pula adalah kaum bumiputera. Jadi nanti jangan marah kalau banyak kerusi-kerusi parlimen dan DUN pengundi majoritinya adalah bukan bumiputera walaupun majoriti rakyat Malaysia adalah bumiputera.

SPR tidak ikhlas

Para pemerhati juga merasakan masalah ini adalah disebabkan kerajaan, SPR dan JPN tidak ikhlas bagi menyelesaikannya. Mereka didakwa sengaja mencari alasan agar sistem pendaftaran automatic ini tidak digunapakai. Mustahil ianya tidak dapat dilaksanakan sedangkan kerajaan melaung-laungkan slogan kearah sistem e-government dan lain-lain.

Selagi masih ada perasaan tidak ikhlas, tidak jujur dan tidak professional selagi itulah masalah pendaftaran pemilih ini tidak selesai kerana di sana terdapat agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Mereka mungkin merasa rugi jika semua rakyat terdaftar secara automatik sebagai pemilih.

Undi Pos

Pengerusi SPR, Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya sedang meneliti untuk memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting, yang sebelum ini terhad untuk anggota tentera dan polis.

Beliau berkata SPR sedang meneliti dari segi bilangan mereka termasuk adakah mereka (dalam perkhidmatan penting) ini boleh bergilir-gilir untuk mengundi, misalnya di sebelah pagi separuh berbuat demikian dan pada sebelah petang separuh lagi.

Menurutnya pertimbangan ini adalah untuk mereka yang terlibat dalam urusan pilihan raya.

Aziz menambah bahawa jika ini dibenarkan, bermakna hak pengundi pos yang sebelum ini dikhususkan hanya untuk pasukan tentera, polis atau pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara akan diperluaskan ke perkhidmatan penting lain.

Beliau berkata demikian kepada media di Putrajaya baru-baru ini.

Kita tidak pernah mendengar rungutan jururawat, doktor dan wartawan tentang kesulitan mereka untuk mengundi tetapi sering mendengar masalah tentang nama pemilih dicatatkan 2 kali dalam senarai pemilih; nama pengundi mati masih ada dalam daftar pemilih; isu pengundi hantu ; tuntutan menggunakan dakwat ; penghapusan undi pos ; ketidaktelusan SPR dan lain-lain. Tetapi SPR nampaknya lebih peka kepada masalah yang remeh temeh dan kecil berbanding dengan masalah integriti SPR itu sendiri.

Jelas sekali SPR tidak mengambil kira langsung pandangan sebahagian besar rakyat dan parti-parti politik khususnya PR yang sudah lama membuat tuntutan supaya daftar pemilih dibersihkan dari sebarang kekeliruan; tuntutan menggunakan dakwat untuk mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali dan sebagainya.

Di saat rakyat dan parti politik bercakap tentang ketidaktelusan undi pos dan penipuan yang mungkin berlaku dalam urusan pengundian pos, tiba-tiba SPR ingin meluaskan penggunaan undi pos. Jika ini berlaku bermakna SPR sebenarnya berundur setapak ke belakang.

Comments