SUBSIDI DITARIK BALIK, DUIT RAKYAT HANGUS DIBELANJA

Kerajaan BN nampaknya sudah tidak mampu lagi untuk memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyat. Satu demi satu subsidi ditarik balik dari rakyat. Mengapa berlaku demikian sedangkan saban hari Umno/BN mencanang ke sana ke mari bahawa ekonomi negara bagus, cari makan senang dan sebagainya.

Mereka juga menjalankan kempen 1Malaysia dengan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan. Namun ianya hanyalah mainan kata-kata tanpa pelaksanaan yang jitu.

Kalau sebelum ini subsidi minyak ditarik balik atau dikurangkan kini subsidi gula menjadi mangsa. Secara automatiknya bila subsidi dikurangkan atau dihapuskan terus, maka harga barangan dan caj perkhidmatan akan dinaikkan sesuka hati.

Kerajaan sangat berkira dengan rakyat tetapi 'cincai' dan tidak berkira dengan kroni dan syarikat-syarikat besar. Akhirnya rakyat terus menjadi mangsa akibat sifat tidak bertanggungjawab kerajaan.

Dasar meringankan beban tanggungan subsidi gula yang diperkenalkan Kerajaan BN menyebabkan kenaikan harga sebanyak 20 sen. Dasar ini membuktikan bahawa Kerajaan BN tidak prihatin dan langsung tidak mengasihani rakyat.
Dengan kenaikan gula ini sudah pasti harangan barangan yang menggunakan gula akan turut naik. Kuih-kuih tradisional dan moden yang sememangnya menggunakan gula dan tepung sebagai bahan utama sudah pasti akan naik. Apa jaminan kerajaan bahawa ianya tidak akan naik?
Sedikit masa lagi Kerajaan BN juga mahu memperdayakan rakyat dengan memperkenalkan GST untuk hampir semua jenis barangan serta kenaikan cukai-cukai lain.
Apakah kerajaan sehingga sanggup membebankan rakyat dengan pelbagai cukai.?
Di saat kerajaan dilihat semakin 'miskin' kerajaan masih sanggup mengghangus RM 1 Billion untuk Formula 1 sedangkan hasilnya tidak memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Kerajaan memboroskan duit rakyat di kala air mata rakyat mengalir mengenang nasib mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Pemimpin kerajaan seolah-olah tidak mempunyai rasa takut dan gerun dalam membelanjakan duit rakyat dengan sewenang-wenangnya. Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua kita bahawa takutlah akan doa orang yang dianiaya dan dizalimi.

Comments