Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Malaysia sebenarnya jauh lebih baik dari keadaan sekarang jika kerajaan yang ada tidak melakukan pembaziran.
"Oleh kerana terlalu banyak pembaziran maka banyak duit rakyat dihangus begitu sahaja tanpa memberikan manfaat kepada rakyat".
"Bayangkan ada laptop yang dibekalkan ke sekolah untuk program PPSMI yang berharga RM43,000 sebuah sedangkan harga sebenar sekitar RM3,000, untung atas angin RM40,000 sebuah".
"Negara kita sekarang jauh ketinggalan dari segi daya saing, kita berada di belakang Vietnam, Singapura, Thailang hatta Indonesia sekalipun" tegas Tuan Ibrahim.
Beliau berkata semua ini adalah gara-gara pemerintah hari ini yang rakus menggunakan hasil kekayaan negara yang melimpah ruah.
Tuan Ibrahim juga menegaskan program Umno Juara Rakyat juga sebenarnya hanyalah retorik sahaja. Sedangkan pada masa yang sama Umno menindas rakyat.
"Lihat sahaja dalam kes royalti minyak mengapa kerajaan pusat menganaktirikan rakyat Kelantan sedangkan Kelantan adalah negeri majoriti orang Melayu".
"Mereka juga sanggup mendaratkan minyak di Thailand kerana dengki kepada Kelantan, inikah kerajaan Umno yang dikatakan membela rakyat dan orang Melayu" tegas beliau.
Beliau berkata demikian pada ceramah umum anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil dan PAS Cawangan Bukit Katil Sabtu lalu.
Comments