BERLAKU ADILLAH KEPADA MAHASISWA

Jiwa kemahasiswaan dalam diri saya menebal. Masih terngiang-ngiang ditelinga saya deruan suara sahabat-sahabat berkempen pada rapat umum mahasiswa zaman saya dahulu. Sempat juga saya menyampuk dan memperdengarkan suara saya dalam siri kempen tersebut.
Masih segar dalam ingatan dan pengamatan saya suara Ahmad Tamimi Serigar memanggil saya untuk tampil kehadapan memberikan ceramah kempen pilihanraya mewakili sahabat-sahabat saya dahulu. Dengan seluar jean, rambut afro look dan pakaian selekeh, saya tampil ke depan walaupun sedikit gugup.
Kini semuanya hanyalah kenangan indah yang pasti tidak akan kembali lagi. Ah, lupakan semua itu. Saya kini berada di dalam medan perjaungan sebenar yang lebih mencabar, namun peristiwa itu sebenarnya adalah rentetan latihan kepada saya untuk mendepani perjuangan seterusnya.
Cuma setiap kali pilihanraya kampus diadakan saya teringat akan zaman tersebut. Zaman muda belia yang indah dan sukar dilupakan.
Kini musim pilihanraya kampus datang lagi. Kini pilihanraya kampus menjadi antara pilihanraya paling tidak demokratik di dunia disebabkan 'pengadil' pilihanraya kampus secara terang-terangan memihak kepada kumpulan tertentu.

Cuma satu yang saya pinta, berlaku adillah kepada semua manusia. Kita semua akan ditanya tentang apa juga yang kita lakukan di dunia. Apakah kita akan ada jawapan di hadapan Allah nanti jika ditanya tentang dosa yang kita lakukan kerana tidak berlaku adil.
Sementara itu dalam dalam satu kenyataan hari ini Kumpulan Pro-Mahasiswa melancarkan kempen 'Mahasiswa Tawan Kampus - 2010" (MiSi -10)
Pelancaran MiSi-10 sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil.
"Ini isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus yang akan berlansung dilaksanakan dalam satu ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti bagi membela nasib mahasiswa yang lain khasnya dan nasib rakyat Malaysia umumnya," kenyataan mereka dipetik.
Mereka juga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak universiti melihat kepada beberapa kronologi kes yang berlaku sepanjang tahun 2009 yang didakwa mereka sebagai kongkongan terhadap demokrasi kampus.
Saya mengharapkan misi mereka ini berjaya dengan syarat semua pihak telus dan adil menjalankan amanah masing-masing.

Comments