TAHNIAH BUAT PASUKAN BOLASEPAK

Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan bolasepak Sukan Sea di atas kejayaan mereka melangkah masuk ke perlawanan akhir di temasya sukan tersebut malam tadi. Kejayaan menumpaskan tuanrumah Laos dengan jaringan 3-1 bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih berhadapan bukan sahaja dengan 11 pemain Laos tetapi puluhan ribu penyokong tuan rumah.

Sesungguhnya kejayaan mereka sampai ke tahap tersebut merupakan suatu pencapaian yang baik setelah kali terakhir kita memasuki perlawanan akhir pada temasya Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur.

Kini cabaran besar yang mereka hadapi ialah Vietnam yang akan ditentang pada perlawanan akhir nanti. Kita kalah kepada Vietnam pada peringkat kumpulan dan ianya bukan kayu pengukur untuk kita undur ke belakang.
Kejayaan ini juga memberikan pengajaran kepada kita supaya kita tidak mudah patah semangat walaupun berada dalam keadaan genting dan susah untuk menempuh kejayaan. Walaupun selepas tewas di tangan Vietnam peluang kita seolah-olah tertutup kerana terpaksa mengalahkan Thailand untuk melangkah ke Separuh Akhir namun kesungguhan, semangat, team work, strategi dan dedikasi akhirnya kita berjaya.
Saya dan tentu sekali rakyat Malaysia tidak mahu kejayaan malam tadi berakhir di situ tetapi lebih penting kejayaan membawa pulang Pingat Emas adalah paling manis selepas kemarau selama 20 tahun. Kali terakhir kita menang pingat emas ialah pada Sukan Sea 1989 juga di Kuala Lumpur.
Teruskan semangat dan kesungguhan. Syabas.

Comments