MASJID DAN SURAU TERUS DIPOLITIKKAN

Keputusan semua Imam dan Pegawai Surau An Najihin Taman Merdeka Jaya (bertaraf masjid) meletakkan jawatan serta merta selepas Solat Jumaat baru-baru membuktikan bahawa Umno terus mencampuri urusan masjid dan surau di Melaka sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pegawai dan kariah surau tersebut.

Jumaat lalu, Imam 1 Surau tersebut, Soieb Salleh, bangun sebaik sahaja selepas solat Jumaat dan mengumumkan perletakkan jawatan semua Imam dan Pegawai-pegawai surau tersebut serta merta kerana tidak berpuas hati dengan Pengerusi Surau dan Pengerusi Masjid Kariah Taman Merdeka yang dilihat cuba mengagalkan hasrat surau tersebut untuk dinaikkan taraf menjadi masjid.

Jawatankuasa Surau tersebut yang telah sekian lama dibenarkan mendirikan solat Jumaat telah menghantar permohonan kepada pihak berkenaan untuk dinaikkan taraf menjadi masjid namun ianya tidak diluluskan kerana terdapatnya tangan-tangan ghaib yang cuba menggagalkan hasrat murni tersebut.

Kemuncak kepada masalah berlaku apabila hampir semua jawatankuasa surau tersebut ditamatkan perkhidmatan dan digantikan dengan individu-individu yang disifatkan tidak layak menjadi jawatankuasa surau keran jarang datang ke surau dan sebagainya. Hanya beberapa orang sahaja AJK lama yang dilantik.

Surau ini adalah antara surau yang diaktif dengan pelbagai program ilmu dan kemasyarakatan sebelum ini. Majoriti AJKnya juga dilihat tidak cenderung kepada mana-mana parti politik dan tidak tunduk sepenuhnya kepada desakan dan arahan Umno sebelum ini.

Peristiwa perletakkan jawatan ini membuktikan bahawa Umno sering campurtangan dalam urusan masjid dan surau sehingga menimbulka suasana tidak sihat dan memecahbelahkan perpaduan penduduk setempat.

Comments