PASCA SEMINAR : PAS TELUS, BANYAK KERJA PERLU DIBUAT

PAS ternyata lebih telus dan berani berbanding Umno. Ketelusan dan keberanian PAS terbukti apabila media dan pemerhati dibenarkan hadir pada Seminar Pemerkasaan PAS pada 7 November lalu walaupun banyak isu dalaman yang sensitif dibincangkan.

Bagi semua isu tidak ada rahsia, rakyat dan media berhak mengetahuinya. Namun Umno terbukti tidak telus dan tertutup apabila hanya membenarkan media pengampunya sahaja yang membuat liputan pada Persidangan Umno. Selain itu Umno juga tidak membenarkan siaran langsung persidangannya ditayang di stesyen TV.

Rakyat harus menilai keterbukaan dan ketelusan PAS ini berbanding dengan Umno.

Keterbukaan PAS terbukti apabila sanggup menjemput Prof Dr Aziz Bari hadir menjadi ahli panel pada seminar tersebut sedangkan Aziz menghentam Presiden PAS dengan pelbagai label contohnya sudah hilang stim, Pak Lah versi PAS, lemah, lembut dan sebagainya.

PAS juga memberikan sepenuhnya ruang kepada peserta seminar membuat kritikan dan pandangan yang telus tanpa tapisan. Pemimpin utama PAS iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga dikritik dan ditegur oleh peserta seminar tanpa disekat di halang. Beranikah ahli dan pimpinan Umno bawahan mengkritik Najib dan Muhyiddin secara berdepan????

Semua ini menggambarkan betapa telus dan terbukanya pimpinan tertinggi PAS.

KERAJAAN PERPADUAN TERKUNCI RAPAT

Di akhir Seminar tersebut Pengarah Seminar menegaskan bahawa isu kerajaan perpaduan (UG) telah terkunci rapat dan ianya tidak akan berbangkit lagi. Ketegasan inilah yang sebenarnya ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh ahli dan penyokong PAS tetapi juga rakan-rakan dalam PR.

Kita tidak mahu selepas ini ada lagi individu tertentu yang berusaha untuk menimbulkan kembali isu ini yang boleh mengggangu gugat kepercayaan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Jika terdapat pihak-pihak tertentu yang membangkit dan mengungkit isu ini maka sudah pasti ianya bukan datang dari pimpinan PAS sebaliknya ia dimainkan oleh musuh.

TUKAR PIMPINAN PAS

Sebelum dan semasa seminar ada ahli dan penyokong PAS yang berpendapat bahawa pimpinan PAS yang ada sekarang perlu ditukar bagi melonjak perjuangan PAS yang dikatakan semakin pudar sejak Pilihanraya Umum 2008. Dakwa mereka pimpinan atasan yang ada sekarang tidak effektif, lemah dan lesu gagal membawa PAS ke suatu darjat yang hebat. Mungkin mereka terpengaruh dengan pandangan dan idea Professor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sedemikian.

Bagi penulis pimpinan yang ada sekarang masih boleh meneruskan kepimpinannya asalkan mereka mahu berubah kearah yang lebih dinamik, tegas, berpandangan jauh dan boleh diterima oleh rakyat Malaysia.

Tidak perlu kita terburu-buru mendesak supaya mereka meletakkan jawatan kerana ianya belum tentu dapat menyelesaikan masalah yang ada. Malah bagi saya masalah yang dihadapi PAS hari ini adalah kecil yang sudahpun diselesaikan.

Bak kata Presiden, ibarat perlawanan bolasepak, ianya belum habis separuh masa pertama jadi pemain dan pengurus tidak perlu ditukar tetapi boleh dikritik dan dinasihati.

Secara jujur ramai mahukan Timbalan Presiden PAS berubah sikap agar dapat membantu Presiden dalam semua hal terutama yang berkaitan dengan politik tanahair. Dalam usaha untuk merealisasikan slogan PAS FOR ALL, Timbalan Presiden mestilah bersikap lebih agresif dan dinamik mempromosikan PAS kepada seluruh rakyat.

Pimpinan PAS perlu mempunyai karisma, ilmu dan kemahiran yang tinggi bagi membawa PAS ke arah itu.

Jadi secara ringkas, jika kita mahu menukar pimpinan kita boleh lakukannya pada tahun 2011 nanti iaitu pemilihan yang akan datang.

Namun begitu penyandang jawatan itu sendiri mesti dapat mengukur keupayaan masing-masing. Jika mereka rasakan tidak layak dan tiada keupayaan mereka boleh memberikan laluan kepada orang lain.

SEMINAR TIDAK CAPAI OBJEKTIF ?

Saya bersetuju dengan pandangan Uztaz Zolkharnain Abidin di dalam blognya bahawa seminar politik PAS sabtu lalu seperti "gulai yang pernah dimakan sebelum ini".

"Kalau tiada (Prof) Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, tiada yang baru kepada seminar itu, kecuali mengulangi komitmen lama yang memang telah diketahui umum," tulis bekas exco Pemuda PAS itu dalam blognya baru-baru ini.

Sebahagian besar pembahas yang membahaskan Ucaptama Presiden tidak memberi cadangan konkrit untuk memperkasakan parti. Sebaliknya mereka lebih gemar memberikan kuliah atau berceramah, tidak menjurus kepada objektif seminar iaitu merungkaikan semua masalah yang ada.

Perkara paling penting sepatutnya dibincang ialah apakah 'root cause' atau penyebab kepada parti tidak perkasa dan bermasalah. Selepas itu pembahas sepatutnya memberikan cadangan untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Lebih dikesalkan ada pimpinan yang menghentam tetamu yang dijemput iaitu Dr Aziz Bari. Ini ibarat panggil orang makan kenduri selepas pukul tetamu kita sendiri yang sedang makan nasi kenduri.

PROMOSIKAN PIMPINAN PAS

Antara perkara menarik yang dibentangkan di dalam seminar ialah hasil kajian Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang membabitkan 2,100 responden di negeri-negeri di utara dan Pantai Timur, tidak termasuk Sabah dan Sarawak yang mendapati golongan muda cuma mengenali lima pemimpin Pas iaitu, Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden), Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Bekas Menteri Besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah).

Mahu atau tidak mahu kita mesti menerima hasil kajian ini secara positif. Memang tidak dapat dinafikan ramai anak-anak muda tidak mengambil peduli tentang politik apatah mengenali pemimpin politik terutama Pakatan Rakyat.

Jadi PAS perlu mengatur strategi untuk mempromosikan pimpinan PAS sebelum pilihanraya umum ke 13 agar pimpinan dikenali sebagai pemimpin yang berkarisma, berketrampilan dan sentiasa berada di tengah-tengah masyarakat. Banyak program-program mendekati masyarakat dan jangan lupa gunakan sepenuhnya media yang agak terbuka untuk memperkenalkan pimpinan kita. Program-program juga mesti dipelbagaikan bagi menarik minat rakyat kepada Program dan aktiviti PAS. Program-program kebajikan dan menangani isu mesti sentiasa diutamakan.

TUBUH CAWANGAN TAMBAH KEAHLIAN

Presiden menyarankan supaya semua jentera PAS kawasan berusaha menambahkan cawangan PAS yang baru di seluruh pelusuk negara. Kekuatan PAS sebenarnya bergantung kepada jentera dan bilangan cawangan di sesuatu tempat. Jangan kita bercerita pasal kemenangan jika kita tidak mempunyai cawangan yang banyak di sesuatu DUN atau Parlimen. Bila cawangan bertambah maka sudah tentu keahlian juga akan bertambah.

Jadi gerakerja untuk menubuhkan cawangan dan menambahkan keahlian mesti dilaksanakan dengan agresif dan istiqamah.

TUBUH KELAB PENYOKONG PAS KAWASAN

Kelab Penyokong PAS juga mesti ditubuhkan di setiap kawasan bagi memastikan rakyat yang bukan Islam bersama-sama menyokong perjuangan Islam. Cabaran yang dinyatakan oleh Presiden PAS ini mesti disambut dengan serius oleh semua kepimpinan PAS Kawasan dan negeri.

Pimpinan negeri mesti memastikan setiap kawasan menubuhkan Kelab Penyokong PAS ini selewat-lewatnya akhir tahun ini. Ini amat penting bagi melatih ahli-ahli Kelab ini bersama-sama bekerja untuk memenangkan PAS pada pilihanraya umum akan datang.

GEMBLENG TENAGA HADAPI MUSUH

Sudah banyak masa kita habiskan untuk menyelesaikan apa yang dikatakan kemelut dalaman parti. Sedangkan kemelut itu tidaklah besar dan kronik, Namun kemelut tetap kemelut dan perlu diselesaikan walau sebesar zarah atau atom sekalipun.

Namun saya yakin semuanya telah selesai dan tidak perlu diungkit lagi. Apa yang penting sekarang mari kita susun saf kita umpama batu bata yang menyokong antara satu sama lain membina suatu binaan yang kukuh dan tidak mampu diganggu gugat serta diruntuhkan musuh luar dan dalam.

PAS mesti mengaturkan segenap ‘resources’ yang kita ada untuk berhadapan dengan ahzab moden yang sentiasa mencari jalan untuk membantutkan perjuangan Islam kalaupun tidak menhapuskan terus obor Islam ini.

PAS tidak mampu untuk bertelagah, berselisih faham, bermasam muka dan berprasangka buruk yang semuanya adalah mainan musuh durjana yang berfikir siang malam untuk merosakkan ukhuwwah dan perpaduan kita.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS mesti halakan senjata idea, pemikiran, wang ringgit dan tenaga kita kepada musuh durjana sebenar yang bekerja siang malam untuk merosak, menzalimi dan menindas sesiapa yang dianggap musuh oleh mereka iaitu pejuang Islam, pejuang keadilan dan pejuang rakyat.

PAS mesti membebaskan rakyat Malaysia dari belenggu pemikiran jahilliyah, kehidupan mementingkan madiyah, matlamat hidup yang caca marba dan meminggirkan Islam.

PAS mesti membina satu masyarakat Malaysia yang berpegang teguh kepada Islam, Keadilan, Demokrasi, toleransi, kerjasama dan telus. Bukan masyarakat yang mengenepikan agama, bersifat perkauman, penting diri, tiada matlamat hidup, tidak menghiraukan isu sekeliling, penakut dan pengecut, taat membabi buta dan tiada harga diri,

PAS mesti merobohkan rangkaian yang memijak Islam, rangkaian penindas dan penzalim yang bongkak dan mabuk kuasa.

Comments