BANJIR MAKIN BURUK, BANTULAH SAHABAT KITA

Banjir makin buruk di Pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan dan Terengganu. Sehubungan dengan itu diharapkan seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan bantuan seberapa segera dan sedaya mungkin kepada mangsa musibah ini.
Di KELANTAN, Jurucakap Pusat Kawalan Oparasi Banjir (PKOB) Negeri di Kota Darulnaim berkata sehingga 6 pagi tadi, seramai 3,019 orang dipindahkan di seluruh negeri berbanding 2,327 orang malam tadi.

Seramai 1,488 adalah dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (812), Tanah Merah (401), Jeli (247), Pasir Puteh (36) dan Machang (35), katanya kepada Bernama hari ini.
Di TERENGGANU, banjir gelombang kedua semakin buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat dengan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sehingga 9 pagi ini bertambah kepada 9,062 orang berbanding 5,641 orang petang semalam.

Jumlah mangsa dipindahkan di daerah Hulu Terengganu ialah seramai 1,737 orang, Besut (1,094), Setiu (1,189), Dungun (2,029), Marang (1,376) dan Kemaman (1,637).

Jurucakap Majlis Keselamatan Negera Terengganu berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka di Terengganu setakat ini ialah 120.
Di PAHANG, mangsa banjir meningkat kepada 33 orang selepas dua penempatan di Kampung Darat Sungai Ular dan Kampung Chendor Tengah di sini dinaiki air.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata seramai 24 orang di Kampung Darat Sungai Ular ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating manakala sembilan orang dari Kampung Chendor Tengah ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.

Comments