Seperti yang saya nyatakan beberapa kali dalam posting sebelum ini bahawa PRK Bagan Pinang mesti ditangguhkan, saya menyokong penuh sebarang tindakan yang akan diambil oleh PAS untuk memohon injunksi mahkamah agar PRK ini ditangguhkan.
Hari ini Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub berkata kemungkinan injunksi itu akan dipohon kerana keraguan di dalam daftar pemilih yang jelas mempunyai nama yang berganda pada seseorang pengundi. Perkara ini bukannya berlaku pada seorang dua pengundi bahkan melibatkan ratusan pengundi.
Jika seorang pengundi sudah menimbulkan keraguan apatah lagi kalau jumlahnya ratusan maka sudah tentu ianya akan mempengaruhi keputusan pilihanraya nanti.
PAS akan mengemukakan bukti dakwaan pada pertemuan wakil PAS dan SPR di pejabat SPR petang ini. Delegasi PAS akan diketuai oleh Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, YB Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.
Andaikata SPR gagal mengambil tindakan yang drastik dan meyakinkan PAS mungkin akan mengambil tindakan mahkamah. Itu antara kenyataan yang dikeluarkan oleh Salahuddin yang juga Pengarah Operasi Pilihanraya PAS Pusat bagi PRK Bagan Pinang ini.
Bagi saya, amat susah untuk SPR mengambil tindakan dalam masa sehari dua ini dan ianya seolah-olah mustahil untuk dilakukan.
Oleh itu saya menyarankan panel peguam PAS supaya bersedia untuk mengemukakan injunksi tersebut secepat mungkin.
Comments