RASUAH TIDAK AKAN HAPUS DALAM UMNO

Presiden Umno, Najib Tun Razak percaya pindaan perlembagaan yang akan menetapkan kaedah baru pemilihan jawatan tertinggi UMNO boleh menghapuskan politik wang.

Najib berkata, ini kerana perwakilan yang akan menentukan pucuk pimpinan parti nanti adalah dalam jumlah yang besar meliputi 146,500 orang berbanding 2,500 perwakilan sedia ada.

''Pindaan perlembagaan ini boleh menghapuskan politik wang kerana bilangan yang memilih lebih besar untuk cuba dipengaruhi oleh sesiapa.

''Kalau ada yang cuba lakukannya, ia akan mudah dapat dikesan," kata beliau pada sidang akhbar selepas mengadakan Majlis Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.

Namun bagi saya walau apapun yang dilakukan oleh Umno, rasuah (politik wang) dalam Umno sukar dihapuskan selagi jiwa ahli-ahli Umno tidak dibangunkan dengan iman. Ini kerana hanya iman dan ketaqwaan sahaja dapat menghalang seseorang itu memberi dan meneriam rasuah. Walau seramai mana ahli yang akan memilih kepimpinan Umno akan ada pihak yang melakukan rasuah untuk menang kerana bagi mereka jawatan di dalam Umno adalah tiket untuk hidup senang dengan projek dan habuan tertentu.

Di peringkat cawangan pun akan berlaku rasuah, apatah lagi di peringkat bahagian dan pusat. Semua orang tahu ada antara pemimpin Umno yang berbelanja jutaan ringgit untuk menang sesuatu jawatan. Maka walau seramai mana sekalipun ahli yang akan mengundi melantik pemimpin sudah tentu pemimpin yang sudah sebati dengan rasuah ini akan terus berusaha untuk merasuah ahli. Duit bukan masalah bagi mereka kerana masing-masing tidur atas duit.

Lebih malang lagi Umno sendiri melihat rasuah bukan suatu jenayah dan kesalahan besar. Sebab itulah pesalah rasuah di dalam Umno tidak dilaporkan kepada SPRM dan badan itu pula tidak menyiasat kegiatan rasuah dalam Umno kerana takut kepada pemimpin Umno.

Terbaru Umno mengiktiraf pemimpin rasuah apabila memilih Isa Samad yang didapati melakukan rasuah, untuk menjadi calon Bagan Pinang. Tindakan menunjukkan kepada kita rasuah bukan kesalahan besar di sisi Umno. Pemimpin dan ahli yang rasuah akan terus berpeluang menjadi pemimpin Umno selepas beberapa tahun digantung keahliannya. Selepas itu 'dosa' mereka diampunkan oleh Umno dan boleh menjadi pemimpin semula.

Malah semasa kempen Pilihanraya Kecil Bagan Pinang minggu lalu Umno/BN terus melakukan rasuah menyogok mengundi dengan pemberian barangan, duit dan lain-lain.

Jadi fakta jelas membuktikan bahawa Umno sebenarnya tidak serius dalam menangani politik wang dan rasuah. Tindakan melakukan pindaan perlembagaan ini hanyalah kosmetik sahaja bagi mengabui mata rakyat untuk kepentingan politik Umno pada masa hadapan.

Comments