Saya menyokong penuh usaha Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz yang mahukan PAS diperkukuhkan dengan pimpinan yang hebat dan mantap tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar terutama yang lunak dan manis dengan kawan-kawan kita Umno dan lain-lain parti.
Namun usaha memperkukuhkan parti tidak semestinya dibuat dengan begitu drastik dan terdesak. Banyak cara untuk kita perkukuhkan parti. Antaranya menukar pemimpin dan menasihatkan pemimpin yang mungkin bermasalah.
Dalam isu terkini yang melanda PAS yang saya sifatkan ianya kecil (cuma digembar-gemburkan oleh media - menangguk di air keruh) saya menaruh kepercayaan penuh kepada pimpinan untuk menyelesaikannya secara baik dan berhikmah.
Jika benar anggota pimpinan sekarang gagal memainkan peranan dengan baik maka memang wajarnya mereka ditukar kerana 'performance' mereka tidak baik. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi.
Saya kira Tuan Guru Nik Aziz telah lama mempraktikkan perkara ini dalam PAS Kelantan di mana beliau sering membuat rombakan kabinet PAS dalam PAS Kelantan. Seingat saya sudah beberapa kali Tuan Guru menukarkan anggota harian PAS Kelantan. Sebagai contoh jawatan Setiausaha kerap ditukar. Telah begitu ramai S/U dilantik Tok Guru antaranya YB Cikgu Wan Rahim, YB Ust Wan Ismail, YB Dato Takiyuddin dan YB Zaki Ibrahim sekarang. Ianya bertukar tangan demi untuk menyuntik semangat dan idea baru.
Begitu juga dengan Tuan Guru Haji Hadi yang telah melantik beberapa orang baru dalam 'kabinet' 2009/2011, antaranya Ustaz Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan, Cikgu Pa sebagai Setiausaha (Orang lama yang baru pegang S/U) dan Ustaz Abdul Halim Abd Rahman sebagai Pengarah Pilihanraya Pusat (Orang lama yang dinaikkan kedudukan).
Dalam sejarah Islam sendiri Panglima Perang tersohor Khalid Ibn Walid juga digantikan dengan sahabat lain ketika perang sedang memuncak.
Tidak ada masalahnya untuk membuat rombakan 'kabinet' demi kebaikan organisasi dan ahlinya bagi mencapai objektif jangka pendek dan panjang.
Jadi saya yakin PAS Pusat juga mampu melakukan perkara yang sama jika dilihat ada anggota yang tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik. Itu sudah menjadi perkara biasa. Jadi media tidak perlu mainkan isu ini. Manakala rakyat dan penyokong PAS pula jangan risau dan buruk sangka. Semuanya dilakukan demi kebaikan jemaah dan masa depan kita semua.
Sebab itu bagi saya jika PAS Pusat membuat rombakan 'kabinet' pada bila-bila masapun ianya tidak menjadi masalah. Kalau mesyuarat PAS Pusat esok membuat rombakan pun saya tidak hairan. Mungkin Setiausaha, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya dan lain-lain jawatan ditukar ganti itu perkara biasa.
Malah jika ada pimpinan yang ingin mengundurkan diri dan memberi peluang kepada orang lain itu juga perkara biasa. Cuma AJK PAS Pusat kena membuat pertimbangan sejawarnya dalam membuat sesuatu keputusan samada melantik, menukar atau menerima pengunduran sesiapa juga demi masa depan Islam dan kita semua.
Saya memang bersikap terbuka dalam hal ini.
Apa yang penting kita mesti merapatkan saf, berpadu tenaga dan mengatur strategi segera kerana saya jangka pilihanraya umum akan berlangsung dalam masa setahun lebih sahaja lagi.
Jangan bazirkan masa untuk memperbaiki rumah sendiri sehingga terlupa untuk 'menyerang' rakan-rakan politik kita dan mendampingi rakyat serta memenangi hati rakyat.
Kurankan politiking dalaman, giatkan usaha dan strategi untuk berhadapan dengan 'tentera ahzab.'
Comments