TAMAN BUAH-BUAHAN JADI SARANG MAKSIAT

Laman Web PAS Cawangan Chabau membongkar satu lagi pembaziran di Melaka. Taman Buah-buahan Selandar yang dulunya menjadi kebanggaan penduduk Selandar kini menjadi sarang maksiat.

Jika dulunya banyak gerai yang menjual buah-buahan yang dikeluarkan daripada taman buah-buahan tersebut, kini kemeriahannya tidak ada lagi. Taman tersebut juga menjadi tempat kaki karaoke menyanyi sehingga menganggu pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengulangkaji pelajaran.

Nasib baik selepas banyak teguran dibuat oleh penduduk kampung akhirnya ia ditutup.

Tinjauan wakil laman web tersebut mendapati papan tanda taman ini terbiar dan tidak terurus.

Pihak yang bertanggungjawab terhadap taman ini harus memanfaatkan tempat tersebut seperti pembukaan gerai makanan dan lain-lain agar taman ini dapat dimanfaatkan semula.

Apa yang menjadi kemusykilan sekarang ialah tempat tersebut juga menjadi medan kaki botol.

Tinjauan krew laman web itu mendapati botol-botol arak bertaburan dan bersusun di atas grandstand, seolah-olah tempat tersebut menjadi tapak pesta minum arak dan perlakuan maksiat.
Perbuatan ini harus dihentikan segera supaya ia tidak menjadi gejala yang merosakkan akhlak anak-anak muda. Pihak berkuasa seperti polis, Pegawai Agama, JKKK, Rela dan sebagainya mestilah bekerjasama bagi membenteras gejala ini.

Amatlah merugikan projek yang memakan kos berjuta ringgit seperti ini tidak di manfaatkan sebaik mungkin.

Comments