PERBAIKI PROSES UNDI POS UNTUK YAKINKAN RAKYAT

Saya menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kementerian Pertahanan membaiki proses pengundian Pos pada pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Selagi SPR gagal meyakinkan rakyat dan parti politik tentang ketelusan dan keadilan dalam pengendalian undi pos ini selagi itulah rakyat akan terus sangsi dan syak terhadapnya »

Terlalu banyak cerita-cerita yang menggambarkan berlakunya penipuan, penyelewengan, ugutan, penyalahgunaan kuasa dilakukan dalam pengendalian undi Pos ini yang menyebabkan segala penjelasan SPR tidak diterima rakyat ».

Ada kawan-kawan bekas anggota tentera yang menyatakan mereka tidak pernah mengundi namun dari laporan yang diterima nama mereka disenaraikan sebagai pengundi yang telah membuang undi.

Selain itu ada juga bekas anggota tentera yang mendakwa bahawa terdapat undi-undi pos yang ditukarkan di saat akhir bagi memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.

Parti-parti lawan BN juga tidak pernah dibenarkan berkempen kepada pengundi-pengundi pos ini sedangkan Kementerian Pertahanan dan menterinya sentiasa keluar masuk kem berkempen kepada mereka. Ini merupakan suatu penyalahgunaan kuasa yang melampau tanpa rasa segan dan malu.

Lebih malang lagi bukan sahaja anggota tentera yang menjadi pengundi pos, ahli keluarga mereka juga dikategorikan sebagai pengundi pos sedangkan mereka adalah orang awam yang sepatutnya dikategorikan sebagai pengundi biasa.

Saya konsisten menggesa undi pos ini dimansuhkan dan semua pengundi pos dibenarkan mengundi bersama-sama dengan pengundi biasa.

Jika sekiranya SPR berdegil tidak mahu memansuhkan undi pos ini maka SPR mesti melakukan ‘improvement’ kepada proses pengundian pos ini. Antaranya :-

1) Memberikan peluang seluas-luasnya kepada parti-parti politik untuk berkempen kepada seluruhh pengundi pos. Sediakan tempat khususnya untuk aktiviti kempen ini.

2) Polling Agent diberikan kuasa seluas-luasnya untuk memantau perjalanan pengundian pos ini bermula dari awal sebelum pengundian sehingga kotak-kotak undi di’seal’kan.

3) Kotak-kotak undi mestilah sama-sama seperti kotak undi biasa bukannya beg-beg kain seperti sebelum ini.

4) Anggota-anggota keluaga tentera mestilah dibenarkan mengundi di peti-peti undi biasa bukannya di kem-kem bersama-sama dengan suami atau isteri mereka

5) Pengundian secara pos mestilah dijalankan serentak dengan pengundian biasa kecuali bagi pengundi-pengundi pos yang tinggal di luar kawasan yang perjalanan pernghantaran undi pos tersebut melebihi 3 jam.

6) Poster-poster, bahan-bahan kempen dan sebagainya dibenarkan untuk digantung di tempat-tempat khas di kawasan penempatan pengundi-pengundi pos.

7) Dan lain-lain

Jika SPR dan Kementerian Pertahanan dapat melaksanakan perkara di atas sekurang-kurangnya rakyat hati rakyat akan terubat dan sedikit gembira dengan pengundian pos ini jikapun SPR berdegil untuk meneruskan pengamalan undi pos ini.

Comments