PAS SEDIA TAWAN DUN BUKIT BARU

PAS yakin akan merampas DUN Bukit Baru pada pilihanraya akan datang. Timbalan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Baru, Ramli Dalip berkata berdasarkan kepada perkembangan terbaru kita melihat PAS semakin diterima oleh masyarakat di sekitar DUN Bukit Baru di mana beberapa cawangan baru akan ditubuhkan di DUN ini.

“Kita akan menubuhkan beberapa cawangan baru di sekitar DUN ini dalam masa terdekat, di mana kita telah mengenalpasti kawasan terbabit dan penyokong-penyokong PAS di kawasan tersebut telah menyatakan persetujuan untuk menubuhkan cawangan tersebut.”

“MTD Bukit Baru juga sedang giat mengenalpasti kawasan-kawasan lain yang berpotensi untuk ditubuhkan cawangan baru kerana permintaan dari masyarakat setempat untuk menubuhkan cawangan PAS amat menggalakkan” kata Ramli.

Ramli berkata MTD Bukit Baru yakin dalam masa terdekat kita akan dapat menubuhkan semua cawangan PAS di setiap Peti Undi dan menambahkan bilangan cawangan yang sedia ada di peti undi-peti undi tertentu.

Menurutnya setakat MTD Bukit Baru telahpun mempunyai pejabat dan markas di setiap peti undi ini merupakan perkembangan terbaik yang menunjukkan bahawa PAS telah lama bersedia untuk bertanding di DUN Bukit Baru ini.

“PAS juga telah menggerakkan program bersama Wakil Rakyat DAP bagi mendekati pengundi-pengundi bukan Melayu dan aktiviti ini telah kita jalankan sejak dari awal tahun lagi”.

“Penerimaan masyarakat bukan Melayu kepada PAS amat menggalakkan di mana mereka memberikan isyarat jelas akan menyokong PAS pada pilihanraya akan datang” ujar Ramli.

Ramli berkata kerjasama ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong dan ADUN Bachang, YB Lim Jak Wong dalam semua program PAS setakat ini cukup berkesan sehingga pengundi Cina mula memahami objektif dan matlamat penubuhan Pakatan Rakyat di peringkat negeri Melaka.

Selain itu Ramli juga menegaskan bahawa Kelab Penyokong PAS kawasan akan ditubuhkan tidak lama di mana beberapa penyokong PAS di kalangan masyarakat India dan Cina telahpun menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan kelab ini.

“Lawatan Pengerusi Kelab Penyokong PAS kaum India Pusat, En Subramaniam baru-baru ini benar-benar menyedarkan masyarakat India dan Cian tentang hala tuju perjuangan PAS yang merentasi kaum sesuai dengan slogan “PAS For All”, kata Ramli.

Tidak syak lagi dengan perkembangan ini DUN Bukit Baru dan lain-lain berpotensi untuk ditawan oleh PAS apatah lagi BN sendiri sekarang berada dalam keadaan yang terumbang ambing akibat masalah dalaman parti-parti komponen BN.

Comments