NASIB BAIK ADA BAGAN PINANG

"Saya yakin bahawa andaikata tiada pilihanraya kecil Bagan Pinang, sudah lelaki yang berdemonstrasi menyepak kepala lembu tidak akan didakwa".
"Oleh kerana adanya pilihanraya kecil di Bagan Pinang maka kerajaan BN terpaksa mempercepatkan proses pendakwaan ke atas mereka sedangkan sebelum itu menteri BN menyokong demonstrasi tersebut" kata Dr Hatta Ramli.
Beliau berkata demikian pada ceramah Badar Al-Qubra di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil malam tadi.
"Kita hairan mengapa pada mulanya Hishamuddin selaku Menteri Dalam Negeri menyokong demontrasi tersebut tetapi bila khabar bahawa DUN Bagan Pinang ada pilihanraya kecil, menteri kata mereka akan didakwa pula".
"Jelas Kerajaan BN mengambil sesuatu tindakan hanyalah berdasarkan keuntungan politik bukannya atas dasar undang-undang". kata Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai.

Dalam ceramahnya itu Dr Hatta juga menyatakan bahawa walaupun DUN Bagan Pinang mempunyai bilangan pengundi Pos yang ramai iaitu 5000 lebih namun belum tentu BN boleh menang dengan mudah.
Menurutnya, PAS akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan proses pengundian pos berjalan dengan telus dan professional.
"Kita jangan lupa pada Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Kemang pada tahun 2000 dahulu calon Parti Keadilan, Roslan Kassim pernah menang undi Pos di sana"
"Jadi kita mendoakan perkara yang sama berlaku pada kali ini" kata Dr Hatta.
Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS supaya tampil membantu calon PAS pada pilihanraya kecil tersebut kerana jika BN tewas di Bagan Pinang impaknya sangat besar kepada landskap politik Malaysia.
"Jika BN kalah di Bagan Pinang, BN akan goyah di Negeri Sembilan dan seluruh negara, Insya Allah pilihanraya umum ke 13 kita akan menang" tambah Dr Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat.

Comments