Seperti biasa pemimpin Umno akan berebut untuk menjadi calon pilihanraya umum atau kecil. Perkara itu mudah untuk difahami kerana dengan jawatan wakil rakyat mereka sudah tentu akan mendapat habuan pangkat, projek dan duit yang banyak. Sebab itu masing-masing berebut-rebut untuk menjadi calon.
Maka pelbagai cara akan digunakan untuk menaikkan nama masing-masing agar dipilih menjadi calon. Ada antara mereka akan mencari 'kaki' untuk membodek Presiden Umno, Pengerusi Perhubungan Umno atau Ketua Bahagian.
Ada juga yang sanggup berjumpa bomoh dan dukun supaya nama mereka naik. Bapa Saudara saya yang merupakan seorang bomoh sendiri menceritakan kepada saya bagaimana ramainya pemimpin Umno berjumpa dengannya untuk meminta tangkai, azimat dan pemanis muka agar mereka dipilih. Tidak hairan juga mengapa Mona Fandey merupakan antara bomoh yang laris suatu ketika dahulu.
Kini Permatang Pasir menjadi medan perebutan antara pimpinan Umno Bahagian Permatang Pauh agar mereka dipilih menjadi calon di sana. Sudah tentu Ketua Bahagian, Abdul Jalil Majid; Imam Pencen Firdaus, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan beberapa AJK Bahagian yang lain sudah memasang angan-angan agar mereka dipilih. Sudah pasang angan-angan mesti pasang badan, pasang 'kaki', pasang 'broker', pasang bomoh dan pasang segala pasang. Silap pasang melopong.
Namun saya menasihatkan pemimpin Umno Permatang Pauh supaya berfikir dua kali untuk bertanding menentang PAS di Permatang Pasir. Ini kerana atas kertas mereka sudah tewas. Malah momentum rakyat kini semakin hebat menyokong PR terutama selepas isu kematian Beng Hock dan Himpunan Aman ISA. Jadi adalah lebih baik mereka-mereka yang 'pasang badan' ini menarik diri kalau tidak nanti malu muka dikalahkan oleh PAS dan PR.
Jika ada yang pertama kali ingin mencuba menjadi calon lebih baik tarik diri supaya rekod bersih mereka tidak dicalarkan dek kekalahan di sini nanti. Lebih baik bagi peluang kepada calon 'recycle' yang pernah dimalukan pada Pilihanraya lalu seperti Abdul Jalil Majid dan Imam Penden Firdaus yang kalah ditangan Wan Azizah di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihanraya Umum 1999.
Ramai pemerhati politik berpendapat perebutan untuk menjadi calon di Permatang Pasir tidak dapat dibendung kerana masing-masing ingin merebut peluang keemasan ini.
Semua orang tahu bahawa Umno Bahagian Permatang Pauh memang bergolak sejak dahulu dan pergolakan itu berlarutan sehingga kini. ADUN Seberang Jaya Arif Shah memang sudah lama tidak 'ngam' dengan Ketua Bahagian, Abdul Jalil sehingga timbul ura-ura Arif akan menyertai PKR.
Selain bayangan bekas Ketua Bahagian Ahmad Saad masih menghantui Jalil dan kali ini tidak mustahil Ahmad dipilih sebagai calon berdasarkan hubungan baik beliau dengan akar umbi.
Umno Permatang Pauh juga sebenarnya masih tidak dapat membebaskan dirinya dari bayangan Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Ketua Bahagian Permatang Pauh puluhan tahun. Sebab di kalangan AJK Bahagian sendiri ramai syak wasangka sesama sendiri sehingga ada yang beranggapan orang itu dan orang ini adalah orang Anwar Ibrahim.
Tidak syak lagi sebenarnya Umno Permatang Pauh menghadapi kemelut yang kronik walaupun Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan kemelut Umno Bahagian itu sudah selesai.
Jika perebutan dan kemelut ini tidak dapat diselesaikan saya yakin Umno/BN akan tewas sebelum masuk gelanggang lagi.
Comments