Umno mendakwa ujudnya pengundi hantu di Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir. Inilah pertama kali Umno mendakwa ujudnya pengundi hantu sedangkan sebelum ini mereka bermati-matian menafikan ujudnya perkara ini.
Dakwaan Umno ini membuktikan bahawa Umno sebenarnya berada dalam keadaan defensif dan takut kepada bayang-bayang sendiri. Jika Umno kuat sudah tentu mereka tidak akan membuat dakwaan itu.
Ketika membuat dakwaan itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) berkata Pemuda Umno mendapati beberapa orang Melayu didaftarkan di rumah yang dihuni oleh orang Cina dan ada juga pengundi Cina didaftarkan alamatnya di rumah orang Melayu.
Khairy berkata sejak pilihan raya umum lepas terdapat kira-kira 1,000pengundi didaftarkan di Permatang Pasir dan trend itu adalah tidak normal kerana jumlahnya terlalu besar.
Beliau berkata perkara itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil bagi menangani isu itu. Kenyataannya dipetik dari Malaysiakini.
Umno benar-benar tertekan dengan situasi semasa dan mood rakyat jelas menolak apa sahaja dakwaan dan fitnah Umno/BN kepada PR. Usaha mereka untuk memecahkan PR di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang serta Kelantan gagal sama sekali.
Isu rasuah, arak, babi dan Islam yang digunakan untuk 'menembak' PR akhirnya terkena kepada mereka sendiri.
BN sebenarnya terus mengalami masalah dalaman yang tidak putus-putus datang. MCA dengan masalah pertentangan Presiden dan Timbalan Presiden serta dakwaan terbaru kepada pimpinan berkaitan isu PKFZ. MIC bergolak kerana keengganan Samy Vellu berhenti serta isu Hindraf dan Kugan. PPP dengan isu perebutan kuasa antara Kayveas dan Murugiah.
Umno juga mengadapi kemelut politik rasuah (politik wang), pertentangan dalaman dan perebutan untuk menjadi calon.
Pendekata BN benar-benar berada dalam keadaan defensif dan tidak hairan jika BN akan sekali lagi tewas pada Pilihanraya Kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.
Pilihanraya ini diadakan berikutan kematian ADUNnya Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu. Penamaan calon akan diadakan pada 17 Ogos dan pengundian pada 25 Ogos ini.
Comments