KESAL KERAJAAN GAGAL TANGANI H1N1 DENGAN SERIUS

Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Ramli Dalip berkata kerajaan negeri Melaka perlu bertindak tegas dengan segera bagi membendung gejala H1N1 yang semakin membimbangkan di negeri ini.
Setakat ini 2 orang rakyat negeri ini telah meninggal dunia di mana kes terbaru Selasa lalu melibatkan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun manakala minggu lalu seorang remaja wanita berumur 20 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka.
"Sehingga ini kita tidak nampak bahawa kerajaan benar-benar tegas dan serius menangani isu ini kerana hanya sekolah-sekolah dan IPT yang ditutup sedangkan mustahil institusi lain tidak terlibat"

"Mana mungkin jika sekolah terlibat institusi lain seperti kilang, pejabat dan lain-lain tidak terlibat dengan H1N1" tegas Ramli.

Sehingga Rabu lalu di Melaka kira-kira sepuluh buah sekolah lagi ditutup akibat wabak H1N1. Antara sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 1 dan 2, Sekolah Kebangsaan Peringggit, Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tijah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah.

Manakala IPT yang ditutup antaranya UiTM, KYM, Sekolah Latihan Jururawat Nilam, Kolej Professional Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Institut Perguruan Perempuan Melaka.

Ramli berkata sesuatu yang 'misteri' berkaitan wabak H1N1 ini ialah adakah ia hanya melibatkan institusi pendidikan sahaja sedangkan institusi lain 'bebas' dari gejala ini.
"Setakat ini kita hanya mendengar institusi pendidikan tinggi, kolej, pusat latihan dan sekolah sahaja yang diarah tutup. Kilang-kilang industri dan gedung perniagaan berstatus 'hyper market' yang mempunyai ribuan pekerja masih lagi 'kebal' dengan wabak ini."

"Saya mendapat maklumat dari rakan-rakan dan sumber yang sahih bahawa terdapat beberapa kes melibatkan industri dan gedung perniagaan. Tetapi kenapa kes ini tidak dihebahkan kepada pengetahuan umum" kata Ramli

"Adakah keuntungan syarikat atau industri lebih penting dari keselamatan dan nyawa manusia, jangan sampai nanti sudah berpuluh orang meninggal baru hendak mengambil langkah serius dan drastik" soal Ramli.

Sementara itu seorang penyelia di sebuah kilang tersohor di Melaka yang tidak mahu nama disiarkan berkata di tempatnya bekerja ada pekerja yang mempunyai simptom H1N1 tetapi pihak kilang hanya mengarahkan pekerja terbabit pulang berehat di rumah atau mendapatkan rawatan di klinik.

Ramli turut kesal kerana sehingga hari ini kerajaan masih merasakan tidak perlu jawatankuasa khas ataupun sidang tergempar parlimen untuk membincangkan wabak H1N1 kerana keadaan masih terkawal. "Terkawal? Jika di Melaka sahaja hari ini banyak sekolah ditutup agak-agaknya bagaimana dengan negeri lain?" soal Ramli.

Sementara itu Ramli mencadangkan beberapa kaedah untuk membendung gejala ini antaranya menghentikan serta merta semua aktiviti umum yang melibatkan orang ramai terutama penyertaan rakyat negara asing yang dikhuatiri membawa virus ini; menutup semua IPTA/IPTS dan sekolah-sekolah selama seminggu mulai sekarang bagi mengurangkan risiko penularan wabak ini dan enutup tempat-tempat pelancongan selama seminggu bagi menghadkan penyebaran wabak ini.

Selain itu beliau juga mencadangkan pihak berwajib membuat penyaringan H1N1 untuk semua pelancong semasa mereka tiba di tempat penginapan, Lapangan Terbang Batu Berendam, Stesyen bas dan sebagainya; mewajibkan semua penduduk memakai 'mask' ketika keluar rumah atau pergi ke tempat awam dan memberikan taklimat segera kepada semua rakyat negeri ini tentang bagaimana untuk mengelakkan virus ini dan cara mengurangkan risiko jangkitan.

Comments