BALASUNGKAWA ABANG DAN (DATUK HAMDAN ABD RAHMAN)

Saya berpindah ke Pulau Pinang pada tahun 1987. Bermula dari saat itu saya bergiat di dalam PAS Pulau Pinang. Saya mula mengenali Markaz Tarbiah PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Markaz PAS Jelutong, Markaz PAS Bayan Baru dan lain-lain.

Sejak dari awal pembabitan saya di sana kami sering mengadakan tamrin, rehlah, muqayyam dan sebagainya. Antara pimpinan PAS Negeri yang kami sering kami jemput untuk majlis perasmian ialah Allahyarham Abang Dan (Datuk Haji Hamdan Abdul Rahman) yang ketika itu diamanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang. Selain beliau kami juga kerap menjemput Datuk Mahfuz Omar (ketika itu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sekarang), Ustaz Khalid Man, Ustaz Moin dan lain-lain.

Memang dari mula saya mengenali Datuk Hamdan, beliau memang seorang yang tawadhuk, merendah diri, kuat berkerja dan sentiasa mewakafkan diri kepada perjuangan. Tidak hairanlah beliau sanggup meninggalkan jawatannya sebagai Pegawai Kastam semata-mata untuk berjuang bersama-sama PAS setelah Almarhum Ustaz Zabidi Ali meninggal dunia. Akhirnya beliau menggagahkan dirinya untuk meneruskan perjuangan Ustaz Zabidi dengan memegang amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Beliau terpaksa meneruskan perjuangan dalam keadaan tidak mempunyai pendapatan yang lumayan seperti sebelumnya. Datuk Hamdan terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarganya dan juga sebahagian besarnya diinfakkan untuk perjuangan. Ketika itu PAS Pulau Pinang berada dalam keadaan yang agak lemah tidaklah sekuat sekarang.

Antara pembantu-pembantu setia beliau ketika itu ialah Ustaz Salleh Man, Datuk Mahfuz Omar, Jamil Abdul Rahman, Ustaz Mazani Abdullah, Haji Nordin Mohd Nor, Mohamad Sabu, Mazlan Ismail, Allahyarham Pak Anjang dan lain-lain. Mereka inilah yang memberikan dorongan dan sokongan tidak berbelah bagi meneruskan perjuangan PAS sehingga akhirnya PAS Pulau Pinang berada pada tahap sekarang.

Semasa menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri beliau sering dilihat berada di Pejabatnya iaitu di Markas Tarbiah PAS Negeri di Pongsu Seribu yang seolah-olah menjadi rumah kedua beliau ketika itu. Jika saya dan rakan-rakan berprogram di Pongsu Seribu sudah tentu kami terserempak dengan beliau. Sebagai anak muda pada ketika itu saya dan rakan-rakan sering diberikan nasihat supaya meneruskan perjuangan walaupun banyak rintangan mendatang.

Akhirnya berkat penat lelah beliau berjuang bersama sahabat-sahabat di Pulau Pinang, Allahyarham telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir pada Pilihanraya Umum 1999. Pada ketika itu beliau menundukkan calon BN Datuk Adnan Ramli dengan majoriti besar.

Allahyarham seterusnya berjaya mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir pada Pilihanraya Umum 2004 walaupun ketika itu ramai ADUN dan Ahli Parlimen PAS dari seluruh negara tewas. Beliau menang dengan menewaskan calon BN walaupun majoritinya berkurangan.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Allahyarham Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63, yang menjadi wakil rakyat Permatang Pasir selama tiga penggal mulai tahun 1999, memperoleh 11,004 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5,571 undi dengan majoriti 5,433 undi.

Dalam nukilan santai blogger ibnuhasyim ada dicatatkan rahsia YB Hamdan dapat mengekalkan kemenangan beliau di DUN Permatang Pasir.

Menurut Ibnuhasyim antara peristiwa yang menjadi ingatan rakyat ialah ketika Permatang Pasir dilanda banjir beberapa tahun lalu. Hujan lebat yang turun menyebabkan banjir di Seberang Perai… sebuah rumah hampir tenggelam. Penghuninya keluarga Melayu, sedang menunggu-menunggu orang datang nak selamatkan mereka dengan bot atau sampan. Mereka sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Tiba-tiba sebuah bot datang, seseorang keluar hendak membantu. Tetapi ketua keluarga rumah itu tidak mahu dibantu. Dia terpinga-pinga. Malu ada. Segan pun ada. Kerana dia adalah seorang Jawatankuasa Kemajuan Kampung di situ.

Dia amat membenci pembangkang, lebih-lebih lagi PAS. Rupanya dalam bot itu dia nampak seorang pemimpin PAS, ADUN Permatang Pasir, Parlimen Permatang Pauh iaitu YB Datuk Hamdan Abdul Rahman. Itu sebab dia rasa malu ditolong.

“Sudahlah! Ketepikan sementara soal politik. Yang penting nyawa kita sekeluarga perlu diselamatkan, Insya Allah. Mai naik sini…” kata YB Hamdan mengajak.

Akhirnya, dia naik juga. YB Hamdan sentiasa turun bersama rakyat, menangani masalah rakyat. Buat kebajikan, menepati Negara Kebajikan seperti dalam manifesto PAS.

Khabarnya, pagi-pagi lepas sembahyang subuh, beliau menunggang basikal mengunjungi rakyat marhein. Saya pernah berkunjung ke pejabat beliau, melihat beliau mengagihkan puluhan ribu RM wang derma atau zakat kepada golongan miskin setiap tahun.

Mungkin itulah antara sebab beliau dapat bertahan beberapa penggal di DUN kawasannya.

Itulah catatan santai Blogger Ibnhasyim mencerita bagaimana komitednya Allahyarham membantu dan menangani masalah rakyat di kawasannya.
Sebagai seorang ADUN, Allahyarham sangat disegani oleh kawan dan lawan. Tidak hairan ramai di kalangan ADUN BN memuji beliau kerana sering memberikan kritikan membina dengan memberikan alternatif terhadap sesuatu yang beliau kritik.
Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng juga sering merujuk kepada beliau dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan orang Melayu.

Atas jasa dan budinya Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran ‘Dato’ sempena ulangtahun Tun Yang Terutama Tun Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas yang ke-71 di Dewan Sri Pinang baru-baru ini.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun selepas Tuan Guru Haji Zabidi Ali meninggal dunia merupakan tokoh PAS pertama negeri ini yang mendapat gelaran sedemikian

Gambar : Orang ramai menziarahi jenazah Allahyarham sehingga jalan menuju rumah beliau dipenuhi rakyat.

Comments

Anonymous said…
Puji je la... nak wat cam ner .. x kan nak kutuk ..