RAKYAT KOMITED BANTAH KEMATIAN BENG HOCK

Rakyat negeri Melaka terus menzahirkan kekesalan dan bantahan terhadap kematian bekas Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor Teoh Beng Hock. Minggu lalu 2 majlis berasingan dianjurkan oleh Pakatan Rakyat iaitu Program Menuntut Keadilan terhadap Beng Hock anjuran DAP yang diadakan di Dewan Pay Fong, Bandaraya Melaka dan Ceramah Perdana anjuran PAS di perkarangan Pejabat PAS Bukit Katil.

Kedua-dua program tersebut berjaya menghimpun kira-kira 5,000 rakyat yang ternyata marah dengan kejadian yang sungguh menyayatkan hati tersebut. Antara tetamu istimewa yang hadir pada program tersebut ialah Penasihat DAP, YB Lim Ki Siang dan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, YAB Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Dalam ucapannya di Pay Fong, Kit Siang menggesa kerajaan supaya memberikan ruang seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Beng Hock dan mendakwa sesiapa sahaja yang didapati bersalah tanpa mengira pangkat dan kedudukan. "Rakyat sangat kesal dengan kejadian tersebut dan menuntut satu siasatan bebas diadakan segera"

"Kejadian ini amat malang untuk rakyat dan negara kerana seorang lagi rakyat yang tidak bersalah mati ketika dibawah jagaan pihak berkuasa" tegas Kit Siang.

Bendahari PAS Pusat, YB Dr Hatta Ramli pula berkata PAS sentiasa komited menentang segala kemungkaran dan ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

"Teoh telah meninggal ketika di bawah siasatan SPRM, maka SPRM mesti bertanggungjawab sepenuhnya diatas kematian beliau" "SPRM dan kerajaan Malaysia tidak boleh lepas tangan begitu sahaja tanpa bertanggungjawab" kata Dr Hatta yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kerai.

Sementara itu Nizar ketika berucap di Bukit Katil menegaskan BN sudah ketandusan idea dan strategi sehingga sanggup memainkan isu perkauman dalam kes Beng Hock dan kemelut politik Perak. "Ini bukan isu perkauman Cina, Melayu atau India. Ini isu kebajikan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat, kita akan bela semua rakyat yang ditindas tidak mengira bangsa, agama dan warna kulit".

"Malangnya Umno bila mereka tersepit dan ditolak rakyat mereka menggunakan isu perkauman untuk menarik sokongan Melayu supaya kembali menyokong mereka" kata Nizar.

Selain itu Nizar juga berkata, beliau akan meneruskan perjuangan untuk menuntut hak rakyat dalam menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan negeri. Sebab itu katanya, sebaik sahaja beliau diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah oleh mahkamah baru-baru ini beliau terus berusaha untuk mengadap baginda Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan DUN Perak namun hasratnya tidak kesampaian akibat beberapa masalah.

Akhirnya mahkamah mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Perak yang sah tidak sampai 24 jam selepas keputusan sebelum itu. Nizar juga berkata perjuangan menuntut keadilan di negara ini mesti diteruskan kerana banyak kes dan undang-undang yang jelas zalim dan menindas rakyat.

"Pakatan Rakyat komited untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dan membebaskan rakyat dari belenggu konkongan kerajaan zalim BN antaranya ISA, AUKU, OSA dan lain-lain"

"Perjuangan ini mesti diteruskan walaupun terdapat tekanan dan kekangan yang maha hebat seperti yang kami hadapi di Perak" ujar Nizar yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.

Turut hadir dalam kedua-dua program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Pengerusi DAP Melaka, YB Goh Leong San dan pimpinan PR Melaka.

Comments

Anonymous said…
tu la ... konon rakyat asik asik rakyat .. bukan ke untuk kepentingan DAP je ... pirah rakyat konon.