Menteri Pendidikan Tan Sri Muhiyiddin Yassin sebenarnya cuba bermain silap mata dengan rakyat dalam isu pemansuhan PPSMI yang diumumkan semalam. Hakikatnya PPSMI tidak dimansuhkan tetapi hanya ditangguhkan sehingga 2012.
Saya amat bersetuju dengan pandangan Sasterawan Negara, A Samad Said yang membuat kenyataan bahawa Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.
"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika Perdana Menteri keempat dahulu mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa Perdana Menteri keenam perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?" soal beliau yang saya petik dari Harakahdaily.
Saya harap rakyat tidak terpedaya dengan mainan silap mata Muhyiddin ini yang nampaknya cuba mengabui mata rakyat lebih-lebih lagi BN sedang terdesak di Manek Urai maka antara langkah untuk memancing undi rakyat di sana ialah dengan pengumuman penangguhan PPSMI ini.
Kalau kerajaan benar-benar jujur mengapa PPSMI tidak dihapuskan terus menjelang 2010. Bagi saya jika kerajaan benar-benar ikhlas sepatutnya pada sessi persekolahan 2010 subjek-subjek Sains dan Matematik mesti diajar dalam Bahasa Malaysia. Masa 6 bulan yang berbaki cukup untuk membuat persediaan untuk kembali menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium untuk subjek berkenaan.
Mengapa semasa PPSMI dipolisikan dahulu kerajaan hanya mengambil masa 6 bulan sahaja tetapi untuk menghapuskan kerajaan begitu liat sekali.
Kerajaan BN jangan menyangka bahawa rakyat mudah ditipu dengan silap mata seperti ini.
Comments