ISU PAMPASAN PEKERJA CUBIC : RAMAI KESAL DENGAN KERAJAAN NEGERI

Beberapa orang pekerja syarikat Cubic Electronics Sdn Bhd kesal dengan sikap kerajaan negeri Melaka yang jelas memihak kepada syarikat tersebut bukannya ingin membela pekerja yang teraniaya.
Salah seorang pekerja yang ditemui, Sufian Abu Bakar, 40 berkata dalam pertemuan antara pekerja dengan Exco Kerajaan Negeri, Yunos Hussin dan Yaakub Md Amin semalam, mereka jelas menyebelahi syarikat tersebut.
"Mereka mempertahankan tindakan Cubic membuang pekerja dan membayar pampasan yang amat tidak setimpal dengan sumbangan kami kepada syarikat".
"Yunos memberikan alasan syarikat rugi dan mengalami masalah sehingga terpaksa memberhentikan kami, sepatutnya beliau berbincang dengan Cubic dan mencari jalan untuk memenuhi tuntutan kami bukannya mempertahankan Cubic" jelas Sufian yang telah bekerja di Cubic lebih dari 10 tahun.
Sufian melahirkan kekesalan terhadap kerajaan negeri yang diharap dapat membela rakyat tertindas sepertinya tetapi sebaliknya kerajaan membela majikan yang jelas bertindak zalim kepada pekerja.
"Kami bukannya menuntut pampasan yang tidak masuk akal cukup sekadar untuk menampung kehidupan kami selepas dibuang kerja sebelum dapat kerja baru"
"Sekurang-kurangnya wang pampasan itu dapat kami gunakan untuk kehidupan seharian atau untuk memulakan penghidupan baru dengan berniaga dan sebagainya" tambah Sufian.
Menurutnya jumlah pampasan sebanyak 3 bulan gaji seperti dalam notis pemberhentian kerja amat tidak setimpal dengan sumbangan mereka kepada syarikat.

"Ada antara kami yang sudah bekerja berbelas-belas tahun dan tetap setia dengan Cubic walaupun dipotong gaji sebanyak 10 % 6 bulan lalu".
"Ini balasan mereka kepada kami, kami akan berjuang dengan apa cara sekalipun sehingga hak kami diberikan" ujar Sufian.
Semalam pihak pekerja telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Tenaga Rakyat di Pejabatnya. Namun hasilnya menghampakan apabila Jabatan tersebut tidak dapat membuat apa-apa tindakan.
Sementara itu para pekerja juga telah membuat laporan Polis bahawa majikan telah menipu mereka dengan memotong gaji sebanyak 10 % dan selepas 6 bulan majikan berjanji untuk mengembalikan semula gaji tersebut.'
Laporan tersebut telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah di Banda Kaba.

Kira-kira 214 orang pekerja syarikat Cubic Electronics Sdn Bhd yang beroperasi di Ayer Keroh dibuang kerja 2 hari lepas dan dijanjikan dengan pampasan yang tidak memuaskan hati pekerja.

Comments