MUKTAMAR PAS : PEMILIHAN OH PEMILIHAN

Saya seperti biasa mengamalkan sikap terbuka pada setiap pemilihan dalam PAS. Sama seperti pemilihan di peringkat kawasan Bukit Katil baru-baru ini. Saya bersedia untuk bertanding dan ditandingi kerana prinsip saya PAS milik kita semua dan kita bekerja serta berjuang dalam PAS bagi mendaulatkan Islam.
Tidak timbul perasaan berkecil hati dan merajuk. Ketika saya melepas jawatan saya dalam Pemuda Negeri beberapa tahun lepas saya melepaskannya dengan hati terbuka dan terus berkhidmat sebagai Ketua Pemuda di peringkat kawasan.
Begitu juga semasa pemilihan di peringkat kawasan baru-baru ini. Saya hanya dicalonkan oleh 3 buah cawangan dan bersedia untuk bertanding walaupun saya tahu saya akan tewas jika ada pertandingan. Tetapi demi untuk perjuangan Islam saya rela dihukum oleh ahli jika saya memang tidak layak. Tidak timbul soal kecil hati dan takut tiada jawatan. Banyak lagi tugas yang boleh saya lakukan untuk perjuangan.
Dalam isu pemilihan di peringkat pusat saya juga mengamalkan sikap terbuka. Semasa mesyuarat untuk mencalonkan Pimpinan Pusat saya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada AJK untuk membuat pemilihan. Mereka mencalonkan Ustaz Nasaruddin Mat Isa untuk jawatan Timbalan Presiden. Saya bersyukur kerana tiada pertentangan dan perdebatan semasa pencalonan itu. Walaupun ada yang ingin mencalonkan orang lain.
Bagi saya walaupun Ustaz Nasa dicalonkan, itu tidak bermakna beliau akan 100 % mendapat undi dari kawasan saya. Saya mengamalkan sikap terbuka. Mungkin 5 orang perwakilan dari Kawasan Bukit Katil akan memilih Ustaz Nasa, Dato Husam atau Haji Mohamad Sabu terpulang kepada kami.
Bila Dato' Husam turun berceramah di Bukit Katil malam tadi ada pihak yang bertanya dan mendakwa bahawa Bukit Katil akan mengundi Husam. Saya jawab tidak semestinya, rakan-rakan saya Haji Ali, Haji Ismail, Abang Ramli, Haji Ab Rahhim dan saya sendiri mempunyai 'stand' kami sendiri. Saya memang tidak mahu mempengaruhi mereka. Cukup sekadar memberikan pandangan kepada mereka dan mereka juga memberikan pandangan masing-masing. Keputusan akhirnya hanya ditentukan oleh mereka ketika mereka memegang pensil dan mengundi pada hari Jumaat ini.
Seperti yang saya nyatakan kepada Abang Mat (Sabu) semasa perbualan telefon kami 2 hari lepas, sesiapa sahaja boleh datang ke Bukit Katil dan berbincang dengan kami. Saya sendiri dalam posting saya dalam blog ini menggariskan kelebihan Ustaz Nasa, Dato Husam dan Abang Mat. Sedikit pun saya tidak membelasah dan memperlekehkan mereka bertiga.
Sebab itu bila saya dihubungi oleh Saudara Zainal Abidin untuk program ceramah dan taklimat Dato Husam pada 31 Mei, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan sebab kami memang dahagakan program dan taklimat dari pimpinan pusat. Saya akan menerima sesiapa sahaja untuk datang ke Bukit Katil. Bagi masa kepada saya sekurang-kurangnya 3 hari untuk saya adakan persiapan. Insya Allah semuanya boleh diatur.
Alhamdulillah program Ceramah Dato Husam malam tadi dihadiri oleh ribuan rakyat suatu sambutan yang baik walaupun kami saya membuat persiapan selama 3 hari sahaja. Derma juga berjumlah ribuan berjaya kami kutip untuk menghancur leburkan BN di Melaka.
Cuma nasihat saya kepada rakan-rakan ketiga-tiga pemimpin sanjungan saya ini supaya berhati-hati membawa diri takut nanti ada yang meluat dan menyampah kepada mereka. Jangan lebih kuah dari sudu.
Hidup Ustaz Nasa, Husam dan Mat Sabu. Sesiapa yang menang akan kami berikan wala' sepenuhnya selagi kamu tidak mengkhianati perjuangan Islam yang dibawa PAS. Tiada KETAATAN kepada sesama manusia di atas jalan maksiat.
Allahu Akhbar!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Comments