DATUK HUSAM PAKAR EKONOMI, KUAT BERKORBAN DAN BERPANDANGAN JAUH

Sebagaimana yang saya janjikan bahawa blog ini akan berkempen untuk ketiga-tiga calon Timbalan Presiden.

Kini tiba giliran YB Dato' Husam Musa untuk menjadi 'sasaran' saya. Saya tidaklah begitu mengenali beliau. Tetapi sebagai anggota parti pemimpin atasan memang dikenali terutama pemimpin lama seperti Husam.

Beliau merupakan aktivis pelajar UM yang sememangnya dikenali ramai sejak dari alam kampus. Sebaik menamatkan pengajian di UM dalam bidang ekonomi beliau terus 'menghambakan' dirinya untuk perjuangan Islam PAS.
Beliau sanggup berkorban dengan bekerja sepenuh masa dengan PAS sedangkan pada masa tersebut jawatan dalam kerajaan dan swasta dengan gaji lumayan sedang menunggu beliau. Husam sanggup menjadi 'tukang gunting' surat khabar di Pejabat PAS Kelantan.
Beliau mendapat kepercayaan dari Tuan Guru Nik Aziz dengan dilantik menjadi Setiausaha Akhbar sebaik Tuan Guru diamanahkan sebagai MB Kelantan. Seterusnya beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kubang Kerian pada PRU 1999 dan seterusnya ADUN Kijang (2004) dan Salor (2008) sekarang ini.

Beliau disifatkan pakar strategis dan juga ahli ekonomi. Selain itu beliau merupakan antara penggerak Tabung Kenali dan pengasas Kijang Care yang berkhidmat untuk kebajikan seluruh rakyat Malaysia.

Husam juga terkenal sebagai pemimpin yang sangat sensitif dengan musibah seluruh Malaysia tidak kira bangsa dan agama. Antara yang saya ingat ialah beliau sanggup datang ke Melaka untuk menziarahi seorang kanak-kanak Cina yang sakit jantung di Bukit Beruang setelah ternampak gambar kanak-kanak tersebut didalam surat khabar Cina.
Tidak syak lagi jika Husam dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS, seperti juga Ustaz Nasa dan Haji Mohd Sabu, beliau akan dapat membantu Presiden dengan data-data/statistik tepat, perancangan masa depan yang jitu dan mempereratkan lagi hubungan dalam PR bagi mengambilalih kerajaan Pusat dari BN.

Comments