BN BERKUBUR JIKA KAUM TIONGHUA KEKALKAN SOKONGAN -- HUSAM

Bukit Katil : Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, BN akan berkubur pada Pilihanraya Umum akan datang jika 80 % Kaum Tionghua mengekalkan sokongan kepada PR sebagaimana yang ditunjukkan di Pilihanraya Kecil Bukit Gantang.

"Malah di Parlimen Pagoh yang diwakili Timbalan Perdana Menteri sekalipun PR akan menang di majoriti 7,000 undi".

"Kita yakin Kaum Tionghua akan terus memberikan sokongan kepada PR pada pilihanraya akan datang sebagaimana yang mereka lakukan di Bukit Gantang di mana PR menang selesa walaupun pelbagai fitnah, tohmah dan penyelewengan di lakukan oleh BN pada pilihanraya tersebut" ujar Husam.

Beliau berkata demikian pada ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di sini malam tadi.

Husam juga berkata BN ternyata begitu takut dengan hubungan erat antara parti-parti komponen PR sehingga takut untuk bertanding pada Pilihanraya Kecil Penanti semalam.

"Ketakutan BN memang ada asasnya apabila calon PR, Dr Mansor Othman menang bergaya dengan majoriti 5,558 iaitu undi majoriti yang lebih besar berbanding pada Pilihanraya Umum tahun lalu".

"Kita tahu walaupun BN tidak bertanding tetapi ketiga-tiga calon bebas itu sebenarnya disokong oleh orang di belakang mereka, kita tahu siapa di belakang mereka" kata Husam.

Selain itu beliau mengingatkan BN supaya berfikir dua kali sebelum meletakkan calon pada Pilihanraya Kecil Manek Urai kerana menurutnya, PR sudah bersedia dengan rapi bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

"Tidak ada gunanya BN masuk bertanding jika mereka sendiri tahu bahawa BN akan kalah lebih-lebih lagi imej BN terjejas teruk dengan imej pemimpin negara yang kotor, ekonomi yang teruk, rasuah dan lain-lain".

"Lebih baik jangan bertanding supaya duit rakyat tidak dibazirkan sebagaimana yang BN katakan ketika memberikan alasan tidak mahu meletakkan calon di Penanti" ujar Husam.

Sementara itu ketika mengulas isu laporan audit PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Husam kesal pemimpin yang terlibat dalam kes itu terus memegang jawatan dalam kerajaan sedangkan penyelewengan tersebut membabitkan duit rakyat berjumlah RM7 bilion iaitu suatu jumlah yang sangat besar.

Husam menggesa mereka yang terlibat disiasat dan diambil tindakan jika terdapat bukti kukuh penyelewengan dan rasuah.

Ceramah tersebut mendapat sambutan di luar dugaan.
Turut berceramah bersama Husam pada program tersebut ialah ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Pasir Putih, YB Ustaz Mohamad Hussin; Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek; Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka, Mejar (B) Jasme Tompang; Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Harun Mohamad; Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Dr Hajjah Khatijah Jumangat dan pimpinan PAS dan PR pelbagai peringkat.

Comments