USUL PINDA PERLEMBAGAAN UNTUK MESYUARAT AGUNG NEGERI DITOLAK

Ayer Keroh : Usul tergempar yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil yang antara lain meminta Perlembagaan PAS dipinda bagi membolehkan mesyuarat agung Badan Perhubungan PAS Negeri ditolak sebulat suara pada mesyuarat agung PAS Kawasan Bukit Katil ahad lalu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Jauhar Dawi ketika membentangkan usul tersebut berhujah bahawa gerakerja dan aktiviti PAS Negeri tidak dapat dimuhasabah dan dipantau kerana tidak adanya mesyuarat agung di peringkat negeri.

"Kita melihat kepimpinan PAS Negeri tidak dapat dipersoalkan samada mereka buat kerja atau tidak, ahli-ahli diperingkat akar umbi tidak ada akses kepada laporan PAS Negeri".

"Untuk itu Dewan Pemuda mengusulkan perlembagaan PAS dipinda bagi mewajibkan Mesyuarat Agung diperingkat negeri diadakan" ujar Jauhar dengan penuh semangat.

Bagaimanapun usul tersebut ditolak setelah dibahaskan dimana sebahagian besar perwakilan membangkang usul tersebut sebaliknya mencadangkan kepada PAS Negeri supaya mengadakan konvensyen PAS Negeri pada setiap tahun.

Selain usul di atas Dewan Pemuda juga menghangatkan suasana apabila mengusulkan pemilihan Pesuruhjaya Negeri-Negeri dipilih pada mesyuarat agung PAS Negeri.

Majoriti perwakilan menyatakan bahawa Presiden PAS lebih arif dalam menilai seseorang pemimpin dari negeri-negeri untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri.

"Kita bimbang ahli-ahli tidak cukup arif dan berilmu untuk melantik pesuruhjaya masing-masing, kesannya adalah besar jika seseorang yang tidak berwibawa dan layak dipilih untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri" kata Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Haji Mohd Diah Abdul.

Sementara itu seorang lagi perwakilan, Norpisah Nordin pula berkata usul ini wajar ditolak kerana perlembagaan PAS yang sedia ada sudah lengkap dan baik di mana ianya ternyata berjaya menjadi PAS sebuah parti yang mantap dan berwibawa.

Mantan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil, Haji Bakrin Sidek ketika membahaskan usul ini mencadangkan supaya cara pemilihan pesurujaya PAS Negeri dikekalkan mengikut perlembagaan sekarang.

Akhirya usul ini ditolak sebulat suara setelah hampir semua perwakilan berbahas membantah usul ini.

Comments