PRA-MUKTAMAR PAS : SAYA ULANGI!!! JANGAN LAYAN MEDIA

Saya bukanlah seorang pemimpin PAS. Hanya sekadar ahli PAS yang sangat sayangkan perjuangan Islam yang sama-sama kita dokong, sokong, pikul dan harungi ini.
Sejak akhir-akhir ini terutama menjelang Muktamar yang melibatkan pemilihan maka sudah tentu media akan mengambil kesempatan memanipulasi situasi ini. Media arus perdana yang sudah tentu diketahui umum siapa dibelakangnya mempunyai 2 sebab utama mengapa sangat berminat dengan pemilihan dalam PAS ini.
Pertama untuk memperok-peranda dan memecah belahkan perpaduan di dalam PAS dan kedua untuk melariskan jualan akhbar mereka.
Manakala di dalam PAS sendiri ada segelintir individu yang mungkin cuba mencari publisiti dan peluang untuk menonjolkan diri bagi mempopularkan mereka untuk tujuan promosi lebih-lebih lagi menjelang muktamar.
Setiap kali pemilihan diadakan, media akan memainkan isu lapuk dan tradisi iaitu Ulama vs Professional. Isu ini telah lama dimainkan malah mungkin sejak penubuhan PAS lagi. Saya hairan mengapa pemimpin PAS asyik dan girang melayani mainan media ini sehingga pantang ditanya mereka pasti akan sibuk membuat kenyataan masing-masing.
Saya kira isu Ulama vs Profesional wajib dihentikan dari sekarang kerana semua orang tahu bahawa PAS sebenarnya dipimpin oleh ulama iaitu Majlis Syura Ulama' adalah institusi paling tinggi dan paling berkuasa di dalam PAS. Maka tidak timbul samada Ulama' atau bukan Ulama' yang memimpin PAS kerana hakikat sebenar Majlis Syura Ulama'lah yang sebenarnya memimpin PAS.
Jadi samada Presiden atau Timbalan Presiden maupun Naib Presiden ulama' atau tidak bukan menjadi soal kerana mereka itu tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas apa juga keputusan dalam PAS.
Malah ahli juga mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan diberikan amanah untuk memimpin PAS. Saya yakin ahli PAS sangat matang, bijak dan merujuk kepada iman dan ilmu mereka bagi memilih pemimpin. Tanyalah ahli PAS seberapa ramai pun saya yakin majoriti dari mereka mahukan ulama' menjadi pemimpin dan ini sebenarnya tidak akan berubah kerana Majlis Syura Ulama' sudah sekian lama ditabalkan sebagai badan tertinggi dan paling berkuasa di dalam PAS.
Jadi saya mengharapkan selepas semua kita tidak melayan sebarang cubaan provokasi oleh media kepada kita sebagai ahli dan lebih-lebih pimpinan di atas. Jangan terperangkap dengan jerat dan jebak yang dipasang oleh media dan musuh-musuh kita yang setiap saat menanti peluang untuk mengharu birukan jemaah dan perjuangan suci ini.
Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
8.25 pagi 10 Mei 2009
Batu Berendam, Melaka

Comments

zakaria @ black said…
org pun tak nak layan ko sofii... hahaha. bodoh btul la org luar ni.