HARAPAN AGAR USTAZ NASA DAN DATO' HUSAM BERTANDING TIMBALAN PRESIDEN

Saya menyokong penuh tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS kerana ingin menumpukan perhatian kepada amanah beliau sebagai Menteri Besar Kedah.
Selain itu saya juga turut bersetuju dengan pendirian Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Beliau dilaporkan telah menghantar surat persetujuan untuk bertanding jawatan tersebut.
Adalah diharapkan Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Naib Presiden, Dato' Husam Musa supaya mengikuti jejak langkah Mat Sabu untuk bertanding jawatan tersebut. Saya harap demokrasi di dalam PAS terus dipelihara dengan adanya pertandingan yang sihat ini. Berilah peluang kepada perwakilan dan ahli PAS memilih siapa calon yang benar-benar layak untuk membantu Datuk Seri Presiden menerajui PAS.
Jangan ada sentimen ulama vs professional kerana semua pemimpin yang dicalonkan bersetuju dengan kepimpinan Ulama' yang dipertahankan oleh PAS sejak tahun 1982 lagi. Sesiapa sahaja yang dipilih nanti sudah pasti akan tetap tertakluk kepada peraturan dan undang-undang tubuh PAS di mana Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi di dalam jemaah Islam yang kita sayangi ini.

Comments