LAPANGAN TERBANG BATU BERENDAM : RUMAH SIAP PAHAT BERBUNYI

Batu Berendam : Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam Melaka yang dinaik taraf dijangka akan mula beroperasi Mei ini.
Maka banyaklah banner yang dipasang di sekitar Bandaraya Melaka memuji kepimpinan dan ketokohan Ketua Menteri Datuk Seri Ali Rustam kerana 'kejayaan' satu lagi mercu tanda baru Melaka.
Namun sehingga hari ini hanya syarikat FireFly yang menggunakan pesawat ATR 72-500 turboprop yang bersetuju memulakan penerbangan Melaka - Singapura bermula September ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Bukit Katil, Puhat Bedol (gambar) mempertikaikan apakah kerja-kerja menaik taraf ini benar-benar perlu sedangkan selepas dinaik taraf pun hanya pesawat kecil sahaja yang mendarat di Lapangan Terbang ini.

"Kalau setakat pesawat ATR 72-500 turboprop sebenarnya lapangan terbang ini tidak perlu dinaik taraf pun kerana dengan landasan dan kemudahan yang ada sebelum ini pesawat seperti Fokker 50, CN 235 dan Charlie pun boleh mendarat.""Kos membina lapangan terbang ini telah meningkat daripada peruntukan asal RM 130 juta dalam RMK 9.
Idea awal menaik taraf adalah untuk menjadikan lapangan terbang ini sebagai hub tambang murah dengan mensasarkan syarikat seperti Air Asia dan FireFly serta MAS." ujar Puhat
Menurut Puhat, Air Asia dikatakan menangguhkan rancangan untuk menjadikan lapangan Terbang Batu Berendam sebagai destinasi baru mereka kerana lapangan terbang ini dibina tidak melepasi spefikasi dan syarat untuk membolehkan pesawat Air Asia seperti Airbus A320 mendarat.

"Ini menyebabkan Ali Rustam sekali lagi terpaksa mengemis kepada Pak Lah, Perdana Menteri ketika itu untuk mendapatkan peruntukan tambahan untuk memanjangkan lagi landasan yang baru siap dibina."
"Tetapi masalah lain pula timbul untuk memanjangkan landasan ini kerana akan melibatkan pengambilan tanah dan kediaman penduduk di Taman Seri Bayan yang akan menyebabkan kos meningkat berkali ganda." tambah Puhat
Menurutnya Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam wajar menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan lapangan terbang ini dibina tidak mengikut spefikasi yang ditetapkan. Adakah wujud unsur-unsur penyelewengan atau salah guna duit rakyat dalam projek ini?

Katanya, masalah itu sepatutnya tidak berlaku kerana setiap projek mega yang bernilai ratusan jutaan ringgit sepatutnya mempunyai perancangan dan kajian yang teliti.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan Negeri, Ramli Dalip pula berkata bahawa kerja-kerja menaik taraf masih rancak dijalankan dan ini menimbulkan kemusykilan kepada orang ramai bagaimana terminal baru boleh beroperasi walhal prasarana yang masih banyak yang belum siap.
"Semua ini memperlihatkan ada yang tak kena dengan pembinaan lapangan terbang ini. Pembinaan yang tidak mengikut spefikasi dan kos yang meningkat hingga sekali ganda daripada peruntukan asal RM 130 juta.
Ini menjadi tanda tanya seperti ada yang cuba disembunyikan untuk menutup kepincangan yang berlaku"

"Saya mengharapkan kerajaan negeri mengumumkan kepada rakyat mengapa kos pembinaan lapangan terbang meningkat dan mengapa kerajaan gagal membuat kajian mendalam sehingga usaha menaik tarafnya tertangguh dan menelan belanja jauh dari kos asal" tambah Ramli.
Sumber : angkasanuri

Comments