PEMILIHAN DLM PAS : BEREBUT BUAT KEBAJIKAN, TIADA RASUAH DAN LOBI MELOBI

Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Imran Abdul Rahman berkata bahawa tindakan 7 Kawasan PAS di Wilayah tidak mencalonkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat agung masing-masing adalah perkara biasa dan menjadi tradisi PAS sejak dari dahulu lagi.

"Biasanya para perwakilan akan menyerahkan urusan pencalonan kepada AJK Kawasan yang baru dilantik kerana mereka lebih memahami dan mengenali pemimpin berbanding perwakilan yang hadir pada mesyuarat agong".

"Sebab bila tiba agenda pencalonan pemimpin pusat, para perwakilan akan mencadangkan ianya diputuskan di dalam mesyuarat pertama AJK yang dilantik, jadi tidak timbul PAS kawasan tidak mahu mencalonkan sesiapa pada mesyuarat agong tersebut" kata Imran.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka, Haji Yassim Musa berkata media sepatutnya faham akan tradisi pencalonan dibuat dalam mesyuarat AJK dan jarang sekali dilakukan semasa mesyuarat agong.

"Laporan media bahawa pencalonan tidak buat adalah tidak benar sama sekali".

"Saya bimbang media sengaja membuat spekulasi untuk menghangatkan berita mereka. Atau mungkin juga mereka mempunyai agenda untuk melaga-lagakan pemimpin PAS" kata Yassim

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Puhat Bedol berkata dalam mana-mana organisasi pun akan ujud perbezaan pandangan dan pendapat. Ianya sudah menjadi lumrah kepada kejadian manusia.

"Dalam PAS perbezaan pandangan dan pendapat memang ujud, namun ianya tidak sampai ke peringkat berpecah belah kerana pemimpin PAS mempunyai fikrah dan panduan yang sama iaitu Al-Qur'an dan Hadis malah PAS juga mempunyai Majlis Syura Ulama' yang sentiasa mengawal selia hala tuju dan prinsip perjuangan PAS".

"Jadi dakwaan bahawa ada team A, team B, kumpulan pro-pakatan dan juga pro-kerajaan perpaduan adalah andaian dan tohmahan media dan musuh-musuh PAS, perbezaan pandangan dan pendapat memang ujud tetapi ianya tidak sampai ujudnya kumpulan dan 'group' tertentu".

"Jika ada pertandingan sekalipun ianya tidak sampai ke peringkat lobi melobi dan rasuah serta politik wang seperti yang berlaku dalam Umno sehingga ramai yang didapati bersalah" kata Puhat.

Puhat berkata pertandingan untuk menjadi ketua dan pimpinan di dalam PAS adalah perkara biasa dan digalakkan bagi kita mencari ketua yang benar-benar sanggup berjihad dan berkorban. Apa yang kita kejar adalah keredhaan Allah dan kita berusaha untuk menegakkan kalimah Allah di atas dunia ini.

"Jadi memang tidak ada unsur lobi-melobi, fitnah memfitnah, surat layang dan sebagainya. Ahli dan perwakilan mesti pandai memilih dan menilik siapa yang sebenarnya mereka akan angkat menjadi pemimpin."

"Pemimpin yang tidak sanggup berkorban masa, duit dan diri akan diketepikan dalam usaha kita menjadikan parti kita semakin mantap dan gagah. Pemimpin juga mesti berpandangan jauh, berkarisma, mempunyai daya kepimpinan yang baik, tahu merancang dan memandu jemaah untuk mencapai target yang dituju."

"Sebab itu Tuan Guru Nik Aziz mencadangkan supaya hanya pemimpin yang layak dan mampu sahaja yang bertanding pada pemilihan kali ini, yang tidak mampu hendaklah menolak pencalonan"
"Saya mengharapkan seluruh pemimpin dan ahli PAS supaya tidak terpengaruh dengan mainan media yang cuba melaga-laga mereka" ujar Puhat.

Comments

Anonymous said…
Menjelang Muktamar (Jun 2009)

Mohamad Sabu Putuskan Akan Tanding Timbalan PresidenWALAUPUN penyandang jawatan Timbalan Presiden, Nasaruddin Mat Isa dan orang yang dikatakan berbakat besar untuk merebut jawatan itu si Baju Petak-Petak Merah (BPPM) masih belum membuat keputusan sama ada bertahan atau berlawan, namun bagi Mohamad Sabu sudah mengatakan pendiriannya beliau akan turut merebut jawatan berkenaan.

Dalam percakapan dengan Mohamad Sabu sekejap tadi beliau mengesahkan akan bertanding timbalan presiden. "Ya saya akan bertanding jawatan timbalan presiden dan tidak lari ke jawatan lain lagi," kata Mohamad Sabu tegas.

"Marilah bersama abang Mat, membantu kemenangan abang Mat," katanya dengan memesrakan dirinya sebagai abang Mat. Menurut Mohamad beliau bertanding kerana ingin membantu presiden, membawa Pas mendekati pemuda, mendekati orang miskin dan mendekati semua lapisan masyarakat.

Sebelum ini Mohamad dikatakan akan berkompromi dengan BPPM, namun penegasan hari ini menunjukkan Naib Presiden Pas itu ingin berganjak ke atas. Mungkin beliau merasakan ada kekosongan yang boleh diisi menyebabkan beliau ingin bergeser ke atas.

Dengan jaminan itu kini jawatan timbalan presiden mungkin akan menjadi rebutan tiga penjuru. Seorang dikatakan berminat untuk ikut sama ialah Menteri Besar Kedah, Azizah Razak.

Semetara dalam risikan awal menunjukkan Mohamad Sabu kini mendapat pencalonan lebih dari 10 kawasan mengatasi Nasaruddi dan BPPM. Bagaimana pun pencalonan itu masih belum disahkan kerana kebanyakan mesyuarat Pas Kawasan menyerahkan kepada ahli jawatankuasa membuat pencalonan.

Dalam perkembangan lain dakwaan mengatakan Kelantan cenderong untuk mencalonkan BPPM adalah tidak benar. Kenyataan individu yang dipetik oleh sebuah akhbar di Kelantan tidak boleh dipertanggungjawabkan dan ia lebih bersifat pandangan peribadi di mana mungkin individu berkenaan ada motif tersendiri membuat kejutan itu.

Setakat ini daripada lima kawasan yang telah mengadakan mesyuarat hanya dua kawasan sahaja yang telah mencalonkan BPPM. Kawasan Kubang Kerian di mana beliau sendiri sebagai Yang Dipertuanya dan satu lagi kawasan Rantau Panjang.

Kawasan Ketereh, Pasir Mas, Tumpat yang telah mengadakan mesyuarat kawasan bagaimana pun tidak menamakan sesiapa untuk merebut jawatan berkenaan. Mesyuarat menyerahkan kepada jawatankuasa Kawasan membuat keputusan.

Di Kelantan Pas mempunyai 14 kawasan. [wm.kl. 4:30 pm

Dipetik Dari:
http://msomelayu.blogspot.com/
zakaria said…
Pembohong tak de rasuah, lobi melobi. pas le parti yang buat tu semua. jangan tuduh org lain.